Ringgit jatuh kepada RM4.41 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit jatuh kepada RM4.41 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, seiring dengan kelemahan tukaran asing Asia susulan kenaikan dolar AS yang dipacu oleh sentimen kecenderungan bank pusat negara maju itu menaikkan kadar faedah.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada paras 4.4110/4200 berbanding dolar AS daripada 4.3900/3955 di akhir urus niaga semalam.

Walaupun pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas seperti dijangkakan, Pengerusinya Jerome Powell dalam ulasan pasca mesyuarat itu, ternyata mengecewakan ramai yang berharap kenaikan kadar faedah lebih perlahan susulan laporan inflasi yang lebih menggalakkan.

Fed menaikkan kadar penanda arasnya sebanyak 50 mata asas kepada julat 4.25 hingga 4.5 peratus pada Rabu dan memberi isyarat mengenai kenaikan-kenaikan seterusnya pada tahun depan walaupun ekonomi mungkin meleset.

"Selain itu, peniaga tukaran asing tempatan juga bertindak susulan kelemahan data jualan runcit China serta lonjakan kes COVID-19 di Beijing.

"Semua perkembangan ini dilihat sebagai negatif untuk ringgit walaupun data China yang lebih lemah itu bukanlah mengejutkan berikutan kenaikan kes COVID-19," kata Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes kepada Bernama.

Dalam pada itu, harga minyak yang turut mempunyai kaitan dengan ringgit, juga susut susulan kenyataan Fed yang menyokong kadar faedah itu selain ketidaktentuan mengenai tahap ekonomi AS yang hanya mengundang aktiviti pengambilan untung.

Minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, turun 0.28 peratus kepada AS$82.47 setong setakat petang ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4410/4521 daripada 5.4440/4509 dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2554/2625 daripada 3.2627/2675 sebelum ini.

Unit tempatan itu bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.6845/6940 daripada 4.6819/6878 namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2296/2364 daripada 3.2552/2608 pada Rabu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini