Ringgit kembali meningkat, RM4.41 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali meningkat, RM4.41 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit mendapat momentum semula apabila ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini di tengah-tengah peningkatan minat risiko seperti yang dapat dilihat di pasaran ekuiti tempatan, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan itu meningkat kepada 4.4180/4215 berbanding dolar AS daripada 4.4230/4275 sewaktu ditutup pada Rabu.

Peniaga itu berkata, dolar AS juga mengurangkan kenaikan awal pada Khamis, didorong oleh peningkatan dalam penanda aras hasil Perbendaharaan AS, yang mencecah paras tertinggi lebih dari satu bulan kerana optimistik terhadap langkah China untuk menghapuskan peraturan kuarantin semakin memudar apabila kes COVID-19 makin merebak di seluruh China.

"Berita bahawa Amerika Syarikat (AS) menyertai senarai negara yang memerlukan ujian COVID-19 oleh pelancong masuk dari China menjejaskan dolar AS," katanya.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, memberitahu Bernama bahawa kepantasan dan kekuatan pembukaan semula China akan terus menjadi kunci kepada ringgit.

"Ringgit diniagakan dengan baik walaupun terdapat kebimbangan mengenai peningkatan kes COVID-19 di China.

"Pada pandangan saya ialah China tidak mungkin untuk kembali kepada perintah berkurung, justeru ia tidak mungkin akan menjejaskan pertumbuhannya," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3255/3297 daripada 5.3257/3312 sewaktu ditutup pada Rabu dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2770/2800 daripada 3.2802/2840 sebelum ini.

Ringgit menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.3061/3090 daripada 3.3012/3048 sewaktu ditutup pada Rabu dan jatuh berbanding euro kepada 4.7078/7116 daripada 4.7043/7091.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini