Semua orang yang memutuskan untuk mencuba perdagangan Forex dan saham bertujuan untuk membuat keuntungan. Apabila seseorang itu membuka akaun perdagangan dan membuat deposit, gambarannya sentiasa cerah: akaun itu menunjukkan keuntungan yang mengagumkan dalam masa yang singkat, jadi anda boleh membeli komputer baharu, kereta, atau rumah. Hanya dengan memikirkan tentang manfaat ini sahaja pun kita sudah berasa gembira dan berharap. Kita memasang cita-cita yang tinggi untuk masa akan datang. Alangkah indahnya jika berdagang bermaksud keuntungan dan tiada makna yang lain? Semestinya, hidup akan jadi lebih mudah sekiranya pedagang sentiasa membuat keuntungan. Namun, anda semestinya pernah mendengar bahawa kita boleh mengalami kerugian semasa berdagang. Anda juga mungkin pernah mengalaminya sendiri.
Adakah terdapat jalan keluar daripada kerugian ketika berdagang? Artikel ini akan menyelami masalah ini dan mengenalpasti mengapakah pedagang mengalami kerugian. Luangkan masa anda sebentar dan pelajari bagaimana untuk tidak gagal dalam pasaran kewangan.
Perdagangan boleh menjadi rumit
Kebiasaanya kita hanya memerlukan beberapa minit sahaja untuk mengklik "Beli" atau "Jual" dan membuka posisi dagangan. Namun, walaupun perdagangan nampak mudah, sebenarnya tidak. Anda akan mampunyai urusniaga yang rugi sekiranya pasaran tidak menyebelahi anda. Untuk membuat keuntungan, anda mempertaruhkan wang anda.
Anda perlu memahami bahawa kerugian dalam urusniaga bukanlah masalah terbesar. Sekiranya anda berhati-hati berkenaan volum perdagangan anda dan anda tidak menghabiskan keseluruhan deposit anda untuk satu transaksi, anda akan mempunyai baki wang yang masih banyak lagi di dalam akaun anda walaupun selepas urusniaga yang gagal. Hasilnya, anda akan mempunyai peluang lagi untuk melakukan urusniaga yang lebih baik. Namun, sekiranya anda tidak bersabar dan terlalu gelojoh untuk menggandakan dana anda dengan pantas, satu urusniaga sahaja boleh melenyapkan deposit anda. Anda berkemungkinan akan berasa sangat kecewa dan berhenti.
Apakah kesimpulan yang kita boleh kita buat? Ada dua. Pertama, perdagangan adalah berisiko dan ia boleh mengakibatkan kerugian. Kedua, terdapat kaedah untuk meminimumkan kerugian dan memaksimumkan keuntungan yang bakal diperolehi.
Berapakah peratus pedagang yang mengalami kerugian?
Sukar untuk kita membuat anggaran berkenaan jumlah pedagang yang mengalami kerugian. Data adalah berbeza-beza daripada pelbagai institusi. Sebagai contoh, menurut Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS, secara purata sebanyak 70% daripada pedagang Forex mengalami kerugian pada setiap suku. Etoro pula mengatakan 80% daripada pedagang harian (day trader) mengalami kerugian bagi tempoh setahun.
Siapakah yang paling terkesan? Di satu pihak, pemula yang tidak memberi perhatian untuk belajar dan ingin membuka urusniaga pertama mereka secepat mungkin adalah golongan yang berisiko. Sebaliknya, orang yang mula berdagang dan membuat sedikit kemajuan mungkin berasa terlalu yakin dan mengabaikan pengurusan risiko. Mereka mungkin pada satu ketika membuat keputusan untuk mengambil risiko yang terlalu banyak semasa urusniaga. Hasilnya, kemajuan mereka sebelum ini akan hancur.
Mengapakah kebanyakan pedagang gagal?
Mari kita lihat sebab-sebab utama mengapakah pedagang mengalami kerugian.
1. Berdagang merupakan satu proses yang rumit. Untuk berdagang dengan baik, seserang perlu melabur kepada usaha dan masa. Tidak semua orang bersedia untuk memberikan perhatian dan berusaha demi mencapai hasilnya.
2. Strategi perdagangan memerlukan disiplin dan ketepatan. Ramai orang yang tidak mempunyai kualiti tersebut. Walaupun mereka mempunyai niat yang baik, mereka mungkin lupa untuk bertindak secara sistematik atau terlalu malas untuk melakukannya.
3. Tiada jaminan. Kadangkala sukar untuk menerima ketidaktentuan yang berlaku dalam pasaran.
4. Para pedagang boleh bertindak melulu. Mereka mungkin tidak mengendahkan analisis pasaran, tidak menetapkan pesanan Renti Rugi, dan syarat pengurusan risiko. Semua ini akan mengakibatkan kesilapan dan urusniaga yang rugi.
Bagaimanakah untuk mengelakkan diri daripada mengalami kerugian ketika berdagang?
Sekiranya anda ingin menjadi seorang pedagang yang berjaya, anda perlu menerima hakikat bahawa sesetengah kerugian itu tidak boleh dielakkan daripada berlaku. Menerima hakikat dan berlapang dada adalah langkah pertama dan yang paling penting. Anda hanya boleh melawan musuh dan menang sekiranya anda kenal musuh tersebut. Jika anda sedar tentang risiko, anda akan lebih berhemat dan membuat keputusan yang lebih baik.
Anda boleh mengikuti saranan-saranan seperti di bawah ini. Petua-petua ini merupakan amalan terbaik perdagangan.
Mulakan dengan latihan
Untuk berjaya, anda perlu belajar bagaimana untuk memilih paras untuk membuka urusniaga, bagaimana untuk menganggarkan pergerakan harga akan datang, di mana untuk meletakkan sasaran pesanan Ambilan Untung, dan Renti Rugi.
Selepas anda membaca berkaitan perkara ini, tonton video atau hadiri wabinar, dan anda perlu berlatih berdagang pada akaun demo. Semestinya, perdagangan demo tidak akan memberikan anda keuntungan sebenar, tetapi ia boleh memberikan anda bagaimana rasanya berdagang.
Ikuti berita ketika berdagang
Berita akan mendorong pergerakan pasaran kewangan. Saham akan menerima impak berita syarikat seperti pengeluaran produk terbaru dan penggabungan dan juga terbitan laporan pendapatan. Kenaikan dan penurunan pasangan matawang forex adalah disebabkan jangkaan terhadap terbitan ekonomi pada kuasa ekonomi utama. Anda boleh melihat jadual terbitan ini dan unjuran bagi pelbagai indikator di dalam kalendar ekonomi.
Sekiranya anda tidak tahu apa yang berlaku kepada instrumen yang anda dagangkan, anda mungkin tidak sedar apabila harga membuat pergerakan mendadak secara tiba-tiba. Ikuti berita, bersedia dan anda akan dapat mengelakkan kerugian dan mempunyai peluang perdagangan baru. Malah sesetengah pedagang lebih gemar berdagang sempena berita berbanding hanya strategi teknikal.
Bermula dengan modal yang kecil
Pengalaman perdagangan anda sendiri merupakan kelebihan signifikan anda dalam berdagang. Adalah lebih baik untuk memperoleh pengalaman ini semasa akaun anda masih kecil. Ia akan membuatkan anda berasa lebih selesa secara psikologi kerana anda tidak akan terlalu gementar untuk setiap urusniaga. Pendekatan sedemikian akan membolehkan anda menumpukan perhatian pada membuat analisis pasaran yang betul dan membangunkan strategi dagangan dengan nisbah kemenangan yang tinggi.
Kemudian, apabila anda memperoleh lebih banyak pengalaman dan deposit anda mula berkembang, anda akan dapat meningkatkan volum dagangan anda. Perkara yang paling penting adalah anda melakukannya secara berperingkat. Pedagang profesional yang sudah lama berada dalam pasaran mengesyorkan untuk tidak mengambil risiko lebih daripada 5% daripada nilai akaun bagi satu urusniaga. Walaupuan akaun anda berkembang, anda akan terlindung daripada kerugian yang besar sekiranya anda mengikuti prinsip ini.
Hormati trend
Dagangan trend adalah lebih digemari berbanding dagangan melawan trend. Trend bertindak sebagai penyaring yang akan membantu menyingkirkan idea perdagangan yang tidak bagus. Sekiranya anda mengikut arah pasaran, anda akan meningkatkan kebarangkalian kejayaan urusniaga anda. Membeli sewaktu satu trend menaik dan menjual ketika satu trend menurun dipanggil perdagangan trend. Anda perlu lihat begini: anda meningkatkan peluang anda untuk membuat keuntungan, dan menggunakan setiap peluang yang ditawarkan adalah satu tindakan yang bijak.
Jangan berdagang tanpa Renti Rugi
"Renti Rugi" sendiri memberi maksud yang positif. Apa yang lebih baik daripada memberhentikan kerugian? Sekiranya anda menetapkan Renti Rugi, sebagai contoh, pada 20 poin, anda akan mengehadkan jumlah kerugian anda dalam satu urusniaga. Sekiranya volum dagangan anda ialah 0.1 lot, 20 poin bermaksud $2. Dalam kata lain, anda tidak akan rugi lebih daripada $2 untuk urusniaga ini. Pada masa yang sama, harga mungkin menyentuh Renti Rugi dan berpatah balik ke arah yang betul. Tiada jaminan bahawa senario sedemikian bolej berlaku, jadi anda mesti mempertimbangkan risiko serta ganjarannya. Ya, kadang kala pesanan Renti Rugi anda akan diaktifkan secara pra matang. Namun, sekiranya anda mempunyai strategi perdagangan yang baik dan urusniaga yang menguntungkan melebihi yang mengalami kerugian, dagangan anda akan menghasilkan keuntungan. Sekali-sekala, Renti Rugi akan menjadi bayaran untuk dagangan kerana ia akan membebaskan fikiran anda daripada kebimbangan terhadap keselamatan deposit anda dan anda akan berpeluang untuk merancang dagangan yang lain.
Kira risiko anda
Risiko anda perlulah dikawal sepenuhnya oleh anda. Itulah sebabnya anda perlu memberikan perhatian terhadap kelebihan ini. Pada setiap urusniaga, anda bebas memilih nisbah risiko/ganjaran, iaitu, nisbah di antara Renti Rugi dan Ambilan Untung. Cara terbaik adalah memastikan Ambilan Untung anda sentiasa lebih besar dari Renti Rugi anda. Sekiranya Renti Rugi anda ialah 20 poin, seperti contoh sebelum ini, dengan nisbah risiko/ganjaran 1:3, Ambilan Untung anda adalah bersamaan 60 poin. Sekiranya anda melakukan urusniaga sebanyak 0.1 lot, 60 poin adalah bersamaan dengan $6. Sekali lagi, anda merisikokan kehilangan $2 untuk mendapat ganjaran sebanyak $6. Sekiranya anda kekal dengan nisbah ini, satu urusniaga yang baik akan memberikan anda tiga kali ganda wang berbanding yang anda akan rugi pada transaksi yang tidak bagus. Dengan sistem perdagangan yang memberikan anda 50% idea perdagangan yang baik, anda akan kekal mendapat keuntungan.
Periksa pelbagai indikator
Bagaimana untuk mencari strategi perdagangan yang baik? Resipi strategi yang menguntungkan adalah ia perlu mempunyai beberapa komponen. Dalam kata lain, anda tidak sepatutnya membuat keputusan untuk membeli/menjual hanya berdasarkan satu indikator teknikal sahaja. Indikator serta instrumen analisis teknikal yang lain perlulah memberikan petunjuk yang sama. Gabungkan dua atau tiga indikator yang berlainan jenis, sebagai contoh, Purata Bergerak dan Stokastik. Strategi perdagangan anda juga boleh berdasarkan candlestick dan pola carta serta penggunaan instrumen Fibonacci. Dalam kes ini, sistem tersebut akan memberikan anda petunjuk yang mempunyai kebarangkalian kejayaan yang tinggi. Sekiranya anda menggunakan strategi tersebut dan digabungkan bersama Renti Rugi dan nisbah risiko/ganjaran yang betul, anda boleh mengelakkan diri dari mengalami kerugian ketika berdagang.
Kesimpulan
Seperti yang kita ketahui, ramai pedagang yang gagal dan mengalami kerugian. Sekiranya anda tidak mahu menjadi seperti mereka, dan sekiranya anda ingin berjaya, anda perlu belajar daripada kesilapan orang lain dan mulakan dengan langkah yang betul.