Pertumbuhan ekonomi penentu prestasi ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pertumbuhan ekonomi penentu prestasi ringgit


KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia akan memberi pengaruh terbesar terhadap prestasi mata wang tempatan pada tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ekonomi Malaysia dijangkakan berkembang di antara empat hingga lima peratus tahun ini.

Katanya, ringgit juga dilihat sudah mula mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) jika dibandingkan dengan prestasinya sebelum ini.

"Justeru, pertumbuhan Malaysia akan mempunyai pengaruh kepada kekukuhan ringgit pada tahun ini yang mana saya fikir ia akan menjadi penentu utama," katanya ketika ditemu bual oleh Haslinda Amin dari Bloomberg Television sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos.

Sementara itu, ditanya mengenai jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang dapat dibawa masuk ke Malaysia untuk tahun ini, Tengku Zafrul berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan 20 peratus berbanding tahun lalu.

"Sudah tentu, dari segi pertumbuhan (FDI), ia tidak sekukuh dengan tahap sebelum pandemik, tetapi perdagangan bertambah baik.

"Saya fikir, anda tahu, ekonomi global 2023 dijangka menghadapi beberapa cabaran, pertumbuhan Malaysia dijangka sekitar empat ke lima peratus.

"Namun, pelaburan adalah mengenai perdagangan dan pelaburan global. Kami mempunyai sasaran yang jelas, kira-kira 20 peratus peningkatan dari tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga menjangkakan perdagangan meningkat hampir 30 peratus berbanding tahun lalu.

"Namun sekali lagi, ia adalah (mengenai) ukuran FDI. Bagi saya, secara tradisinya, ukuran ke atas FDI adalah mengenai nilai dolar mutlak yang datang ke Malaysia.

"Berapa banyak daripada pelaburan itu yang direalisasikan, berapa banyak diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan apakah kesan limpahan? Saya rasa itu adalah penentu utama," katanya.

Mengenai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang ditandatangani Malaysia beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan pada Oktober, Tengku Zafrul menegaskan bahawa kerajaan akan kekal dengannya.

"Kami akan memantau perkara ini dengan teliti, tetapi kami juga sudah membuat pemberitahuan awam yang sewajarnya untuk meneruskan CPTPP," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini