Ringgit meningkat kepada RM4.39 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit meningkat kepada RM4.39 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan hari kedua 2023 apabila sentimen risiko semakin bertambah baik berikutan keyakinan terhadap pembukaan semula sempadan China.

Unit tempatan melepasi paras 4.40 untuk ditutup hari ini kepada 4.3960/4010 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4050/4084 pada Selasa.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit memerlukan peningkatan data ekonomi China yang lebih ketara sekiranya mahu mencecah paras RM4.25 pada suku pertama tahun ini.

Katanya, China barangkali akan melonggarkan dasar sifar COVID-19 tetapi langkah itu juga akan mencetuskan kebimbangan akan kemungkinan penularan varian baharu di negara berkenaan.

Seorang peniaga berkata, pelabur memantau rapat mesyuarat antara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan saintis China apabila WTO mempelawa China untuk mengemukakan data mengenai varian COVID-19 yang menular di negara itu.

Pelabur juga menantikan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada malam ini selain mengambil kira kebimbangan terhadap kemelesetan global yang menyebabkan harga tenaga merosot.

Sementara itu ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding pound Britain kepada 5.3011/3072 daripada paras penutup 5.2538/2579 pada Selasa, susut berbanding euro kepada 4.6650/6703 daripada 4.6460/6495 dan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2823/2863 daripada 3.2768/2798.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3694/3734 daripada 3.3755/3786 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini