Ringgit meningkat pada pembukaan hari pertama dagangan 2023 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit meningkat pada pembukaan hari pertama dagangan 2023


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada hari pertama dagangan 2023, berikutan pembukaan semula China dan jangkaan kenaikan kadar faedah yang kurang agresif di Amerika Syarikat (AS) meningkatkan sokongan belian, kata peniaga.

Pada 9 pagi, unit tempatan diniagakan pada 4.3965/4050 berbanding dolar AS daripada 4.3995/4095 pada Jumaat lalu.

Ringgit ditutup pada 2 Januari 2023 untuk menggantikan cuti Tahun Baharu yang jatuh pada Ahad.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata unit tempatan meningkat pagi ini berikutan aliran belian disebabkan pembukaan semula China yang terus membantu pertukaran asing (FX) Asia.

"Walaupun ekonomi China boleh terus lemah dalam jangka pendek, pasaran dijangka melihat kemerosotan ini dengan menjangka lebih banyak dasar rangsangan.

"Ringgit dijangka menyaksikan minggu yang baik berikutan prospek lebih banyak sokongan untuk ekonomi China," katanya kepada Bernama, sambil menambah ringgit dijangka diniagakan antara 4.38 dan 4.41 sepanjang minggu ini.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Firdaos Rosli berkata berdasarkan Rizab Persekutuan (Fed) AS komited untuk meredakan pasaran buruh, senarai gaji bukan ladang (NFP) untuk Disember boleh menjadi pemangkin utama untuk hala tuju seterusnya.

"Jika bacaan kekal kukuh, ia akan mendorong bank pusat untuk mengambil tindakan memecahkan situasi pekerjaan yang terhad, memanjangkan pasaran menurun," katanya.

Beliau berkata langkah mengeluarkan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang terkini akan menarik perhatian berikutan pelabur mencari petunjuk mengenai pergerakan tekanan harga, selain kebimbangan mengenai kemelesetan berikutan kenaikan kadar yang agresif di seluruh dunia.

"Walaupun kenyataan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa bahawa satu pertiga daripada ekonomi dunia akan menghadapi kemelesetan pada tahun ini, Fed dijangka akan mengubah cara seawal suku kedua 2023.

"Oleh itu, kami menjangka ringgit akan diniagakan antara RM4.39 dan RM4.41 pada minggu ini," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini