BENGALURU: Rupiah Indonesia meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh empat bulan hari ini, di tengah-tengah kenaikan kukuh mata wang ekonomi sedang membangun Asia disebabkan oleh dolar Amerika Syarikat (AS) lebih lemah, dengan dagangan di rantau ini agak lengang disebabkan cuti Tahun Baharu Cina.
Rupiah mengukuh sehingga 1.1 peratus berbanding dolar AS untuk mencecah paras tertinggi sejak 16 September lalu, dan akan menguji 14,975 hingga 15,000 berbanding satu dolar AS.
"Gabungan sentimen risiko lebih baik dan aliran masuk bon menyokong rali rupiah," kata ahli strategi global di TD Securities, Alex Loo.
Indeks dolar terus ketinggalan dalam dagangan Asia apabila pelabur terus mengukur risiko kemelesetan AS dan panduan bagi dasar Rizab Persekutuan (Fed).
Rupee India jatuh 0.3 peratus, manakala baht Thailand susut 0.2 peratus.
Bank pusat Thailand dijangka menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada Rabu untuk membendung peningkatan inflasi, demikian menurut pungutan pendapat Reuters.
Pasaran sahamnya meningkat sedikit, sebanyak 0.2 peratus.
Lebih banyak bank pusat di Asia memperlahankan natarif memperketatkan dasar minggu lalu, dengan Bank Negara Malaysia (BNM) tanpa dijangka mengekalkan kadar, manakala Indonesia memberi isyarat untuk mengakhiri kitaran kenaikan lebih awal.
Sementara itu, China mengekalkan kadar pinjaman penanda aras tidak berubah untuk bulan kelima pada Jumaat, seperti dijangka, namun penganalisis berkata pemotongan mungkin dibuat pada masa akan datang, kerana bank pusat berikrar untuk menyokong ekonominya yang dibelenggu COVID-19.
Kebanyakan pasaran Asia masih ditutup sempena perayaan Tahun Baharu Cina, termasuk China, Singapura, Korea Selatan dan Malaysia.
"Pasaran berkemungkinan lebih lengang memandangkan orang ramai lebih berhati-hati, menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Rizab Persekutuan (Fed)," tambah Loo.
Namun, sentimen risiko dirangsang oleh rali semalaman saham-saham teknologi AS dan keyakinan terhadap pemulihan China susulan pengakhiran dasar sifar COVID.
Pasaran saham meningkat 0.5 peratus di Filipina, 0.4 peratus di India dan jatuh 0.4 peratus di Jakarta.