Sentimen pelabur bertambah baik, ringgit terus mengukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Sentimen pelabur bertambah baik, ringgit terus mengukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum positif pagi ini untuk dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar AS dengan pelabur menjangkakan rentak kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang lebih perlahan oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

Pada 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.3305/3350 berbanding dolar AS daripada 4.3325/3375 pada penutupan urus niaga Jumaat.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes memberitahu Bernama, jangkaan kadar faedah AS yang lebih rendah pada bulan Februari dan pembukaan semula China terus memacu sentimen.

Selain itu, beliau berkata rangsangan terhadap harga komoditi, khususnya minyak mentah, lebih-lebih lagi dengan ekonomi China kembali bergerak turut meningkatkan selera untuk mata wang tempatan.

"Peniaga akan turut memantau perkembangan Fed minggu ini untuk mengetahui pandangan mereka mengenai trend inflasi.

"Beralih daripada inflasi tinggi dan meningkat kepada inflasi sederhana adalah baik untuk aset berisiko kerana ia sepatutnya mengurangkan kecenderungan pihak Rizab Persekutuan untuk menaikkan kadar faedah," jelas Innes.

Fed menetapkan kadar terminal sebanyak 5.1 peratus untuk 2023 pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang terakhir.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding euro, menyaksikan mata wang tempatan meningkat kepada 4.6960/7009 daripada 4.6986/7040 pada penutupan Jumaat lalu.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2839/2878 daripada 3.2782/2825, lemah berbanding yen Jepun menjadi 3.3882/3923 daripada 3.3703/3744 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.3040/3095 daripada 5.2973/3035 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini