Ringgit semakin merosot, RM4.48 satu dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit semakin merosot, RM4.48 satu dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga hari ini ketika pelabur menumpukan aset selamat berikutan kebimbangan mengenai prospek kenaikan kadar faedah global.

Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.4850/4895 berbanding dolar AS daripada paras 4.4755/4805 yang dicatatkan pada akhir urus niaga semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata unit tempatan itu terus bergelut diasak perkembangan mengenai kecenderungan Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar faedah yang sememangnya dijangkakan oleh pasaran.

"Sekiranya data (ekonomi) AS kekal kukuh dan inflasi tinggi, ini akan memaksa pasaran untuk terus mengetengahkan andaian mengenai kenaikan kadar dana Fed melebihi enam peratus kadar yang boleh menyebabkan ringgit terus terjejas," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Peniaga ActivTrades, Anderson Alves berkata pelabur juga berkemungkinan memantau perkembangan berkaitan krisis Russia-Ukraine ketika Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen memberi amaran mengenai impak serius ke atas China jika terbukti menyalurkan bahan mentah kepada Moscow yang jelas mencabuli sekatan Washington.

"Sebarang tindakan konkrit China menyokong Russia boleh dilihat sebagai rasional yang kukuh dan boleh menjejaskan pendedahan dari Asia," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Berbanding dolar Singapura, ringgit susut kepada 3.3247/3285 daripada 3.3162/3204 pada akhir urus niaga semalam, rendah berbanding euro kepada 4.7572/7620 daripada 4.7212/7265 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4152/4206 daripada 5.3576/3636, sebelum ini.

Ringgit bagaimanapun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2799/2835 daripada 3.2816/2855.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini