KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah Brent dijangka berada pada AS$83 setong tahun ini, merosot berbanding AS$88 setong.
Ia diunjurkan kekal pada paras AS$80 setong tahun hadapan dan 2025.
RHB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan berkata, ia merendahkan unjuran suku kedua kepada AS$80 setong disebabkan sentimen secara menyeluruhnya memakan sedikit masa untuk beransur-ansur pulih, selain unjuran terbabit sudah mengambil kira bahawa krisis perbankan berjaya dikawal dengan sebaiknya.
"Kami turut meramalkan harga minyak akan mencapai paras purata AS$85 setong pada separuh kedua tahun ini," demikian menurut penganalisisnya, Sean Lim dan Athipu Visavaveja.
Menurut Lim dan Visavaveja, permintaan minyak keseluruhan seharusnya terus baik tahun ini dengan merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 2.3 juta tong sehari (mbpd).
"Kami yakin tidak banyak perubahan diperlukan dalam asas pasaran minyak buat masa sekarang. Malah lebih penting lagi, langkah sokongan harga bakal dilaksanakan Amerika Syarikat (AS) dengan menambah semula Rizab Petroleum Strategik dan OPEC (menerusi langkah pengurangan pengeluaran) jika permintaan minyak dunia merosot," katanya.
RHB Investment Bank Bhd berkata, pasaran minyak masih terkawal tahun ini dengan jangkaan terus mempunyai lebihan 0.6mbpd pada suku kedua sebelum kembali mencatat defisit antara 0.2-0.8mbpd pada separuh kedua 2023.
"Kami jangkakan pasaran akan terus seimbang dengan defisit purata sebanyak 0.1mbpd pada 2023. Walaupun perintah larangan diteruskan ke atas produk Russia, ia bagaimanapun tetap dipasarkan semula ke negara lain.
"Malah, menurut laporan Bloomberg, eksport minyak mentah Russia mengikut jalan laut masih berjaya melepasi paras 3 juta tong sehari (bbl/d) dalam tempoh enam minggu lalu, dengan kebanyakan eksport Russia dibawa ke China, India dan negara-negara Asia lain.
"Dalam hal yang lain, pengeluaran AS masih diunjurkan mencatat pertumbuhan keluaran tertinggi (0.6mbpd) pada 2023, tetapi pertumbuhan ini dijangka akan menurun nanti tatkala berdepan dengan penurunan bilangan pelantar minyak," katanya.
Berhubung pandangan mengenai sektor, Lim dan Visavaveja berkata, memandangkan harga minyak purata diunjurkan pada AS$83 setong tahun ini, mereka menjangka syarikat minyak tidak akan mengurangkan perbelanjaan modal (capex) dan pelan perbelanjaan operasi (opex) dengan ketaranya.
"Maka, kami percaya penurunan yang berlaku baru-baru ini sesuai dijadikan sebagai peluang untuk mengumpul saham ini pada harga lebih rendah. Bagi Thailand, kami menggemari Bangchak Corp dan Thai Oil. Hal ini ditambah pula dengan jangkaan syarikat penapisan Thailand akan menyaksikan kenaikan margin penapisan kasar (GRM).
"Rata-rata syarikat penapisan ini telahpun selesai menamatkan penutupan operasi besar mereka untuk tujuan penyelenggaraan pada suku keempat 2022, dan kini kembali menjalankan operasi. Seterusnya, pembukaan semula ekonomi dilihat mempertingkatkan permintaan minyak gas dan diesel bagi tujuan-tujuan pengangkutan.
"Pemulihan dalam kegiatan pelancongan juga menyokong permintaan minyak jet yang akan mendorong prospek syarikat penapisan di Thailand," katanya.