Sentimen kekal lemah, ringgit susut lagi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Sentimen kekal lemah, ringgit susut lagi


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kerana sentimen pasaran tempatan kekal lemah berikutan pendirian agresif Rizab Persekutuan (Fed).

Pada 6 petang Jumaat, ringgit jatuh kepada 4.4765/4780 berbanding dolar AS daripada 4.4730/4780 pada Khamis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pegawai Fed telah memberi amaran bahawa kadar faedah yang lebih tinggi mungkin berlaku, menyebabkan lebih ramai pelabur memilih aset-aset yang lebih selamat.

"Kita juga menyasikan lantunan kukuh dalam sektor perkhidmatan di China yang mana indeks pengurus pembelian perkhidmatan Caixin/S&P Global meningkat kepada 55.0 pada Februari daripada 52.9 pada Januari.

"Bagaimanapun, ia diimbangi oleh data hasil 10 tahun Perbendaharaan AS yang lebih tinggi yang berada pada 4.06 peratus pada masa ini, menjadikan aset-aset Malaysia tidak menarik," katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2877/2890 daripada 3.2772/2813 semalam dan menurun berbanding pound Britain kepada 5.3642/3660 daripada 5.3546/3606, tetapi ia meningkat berbanding euro kepada 4.7487/7503 daripada 4.7539/7592 semalam.

Sementara itu, ringgit juga kebanyakannya diniagakan lebih rendah berbanding beberapa mata wang ASEAN.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3255/3269 daripada 3.3210/3252 semalam, jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.8998/9105 daripada 12.8583/8789 dan menurun berbanding peso Filipina kepada 8.16/8.17 daripada 8.13/8.14.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 292.30/292.60 daripada 292.60/293.20 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini