Ringgit dijangka alami pembetulan teknikal minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka alami pembetulan teknikal minggu depan


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengalami sedikit pembetulan teknikal pada beberapa hari akan datang, diniagakan dalam julat RM4.40 hingga RM4.41 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit sudah berada pada kedudukan terlebih beli berdasarkan kepada carta teknikal, yang membayangkan berkemungkinan besar beberapa pembetulan berlaku dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, laporan Penyata Gaji Bukan Ladang (NFP) dijangka menunjukkan angka lebih rendah, seolah-olah memberi bayangan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menghentikan sementara keputusan kenaikan kadar faedahnya pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 2 hingga 3 Mei.

"Bagaimanapun, sekiranya laporan NFP lebih tinggi daripada jangkaan pasaran, terdapat kecenderungan untuk dolar AS menjadi lebih kukuh kerana Fed berkemungkinan akan terus menaikkan 25 mata asas pada bulan Mei.

"Perkara yang sama juga boleh berlaku jika NFP lebih rendah daripada jangkaan. Mod penghindaran risiko akan berlaku kerana bimbang terhadap kemunculan semula kemelesetan di AS," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, disebabkan mahu lebih selamat, dolar AS boleh meningkat.

Pada asas minggu ke minggu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding dolar AS kepada 4.3995/4035 daripada 4.4130/4175 yang direkodkan seminggu sebelumnya.

Sementara itu, mata wang tempatan itu diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama pada minggu sebelumnya.

Ia lemah berbanding pound Britain kepada 5.4730/4780 daripada 5.4580/4636 dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.3411/3443 daripada 3.3083/3122, tetapi meningkat berbanding euro kepada 4.8016/8060 daripada 4.8036/8084.

Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Mata wang tempatan itu lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.3079/3114 daripada 3.3185/3224 pada minggu sebelumnya dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.08/8.09 daripada 8.12/8.13.

Ia bagaimanapun susut berbanding rupiah Indonesia kepada 295.00/295.30 daripada 294.20/294.70 dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.9090/9279 daripada 12.9031/9220.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini