Ringgit dijangka bawah RM4.40 sedolar AS minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka bawah RM4.40 sedolar AS minggu depan


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan pada aliran yang lebih agresif pada minggu depan tetapi di bawah RM4.40 dalam jajaran 4.3925 hingga 4.4175 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata memandangkan pasaran mula beralih daripada krisis perbankan Amerika Syarikat (AS), mata wang Asia sewajarnya menunjukkan prestasi yang baik terutama, dengan tanda-tanda bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengurangkan faedahnya menjelang hujung tahun ini.

Pertukaran asing Asia (FX) kekal bergantung kepada pertumbuhan China dan telah menyediakan ruang kelegaan semasa kemelut sistem perbankan barat baru-baru ini.

Pertumbuhan China yang mantap terus menyediakan rangsangan kepada ekonomi Malaysia yang berorientasikan eksport.

"Bagaimanapun, paras hasil yang lebih rendah berbanding mata wang pasaran sedang pesat membangun (EM) lain menjadikannya kurang menarik berbanding risiko lain yang lebih tinggi melainkan pertumbuhan China mula meningkat dengan teguh," kata Innes kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit menokok agak tinggi berbanding dolar AS berikutan petunjuk Fed yang kurang memberangsangkan telah melemahkan nilai dolar AS.

Pada suku kedua 2023, beliau menjangkakan persekitaran FX kekal tidak stabil berikutan penantian terhadap mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadualkan Mei atau Jun, yang akan memberikan petunjuk jika Fed akan menangguhkan kenaikan kadar faedahnya.

"Selain itu, pasaran juga mahu melihat sama ada krisis perbankan benar-benar berakhir. Suku kedua 2023 akan menyaksikan persekitaran perdagangan yang amat tidak menentu," kata Afzanizam.

Sementara itu, MIDF Research dalam satu nota berkata, peningkatan aliran dalam ringgit mungkin berterusan pada purata yang lebih kukuh iaitu RM4.20 dan menjelang akhir tahun pada sekitar RM4.00 berbanding dolar AS, disokong oleh ekonomi domestik yang memberangsangkan.

Ringgit berada dalam kedudukan yang baik untuk kekal sihat susulan momentum ekonomi domestik kekal positif serta memandangkan Malaysia merupakan pengeksport komoditi bersih petroleum mentah, gas asli cecair dan minyak sawit, ia akan mendapat keuntungan daripada kenaikan harga komoditi global selain lebihan dagangan yang berterusan.

Secara mingguan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding dolar AS pada 4.4130/4175 daripada 4.4250/4305 yang direkodkan seminggu sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia lemah berbanding pound Britain pada 5.4580/4636 daripada 5.4034/4101 dan turun berbanding euro kepada 4.8036/8084 daripada 4.7476/7535, namun ia menokok berbanding yen Jepun kepada 3.3083/3122 daripada 3.4099/4144.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Nota tempatan itu menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.3185/3224 daripada 3.3178/3225 pada minggu sebelumnya dan berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 294.20/294.70 daripada 291.90/292.50.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9031/9220 daripada 12.9610/9835 dan mantap berbanding peso Filipina kepada 8.12/8.13 daripada 8.15/8.16 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini