Ringgit mengukuh pada akhir dagangan hari ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mengukuh pada akhir dagangan hari ini


KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan mengukuh pada akhir sesi urus niaga Selasa berikutan penyusutan dolar Amerika Syarikat (AS) susulan jangkaan prospek kadar faedah lebih perlahan di negara maju itu serta di peringkat global.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.4020/4065 berbanding dolar AS daripada 4.4175/4195, semalam.

Indeks Dolar AS (DXY) juga susut kepada 101.908 mata berikutan perkembangan terkini seperti data pembuatan AS yang lemah manakala pihak Reserve Bank of Australia (RBA) pula memutuskan untuk menghentikan seketika kadar faedah pada tahap 3.6 peratus.

"Pada masa ini, RBA bertindak mengekalkan kadar tunainya pada 3.60 peratus. Sebelum ini, Bank Negara Vietnam (SBV) telah mengurangkan kadar faedah utama sebanyak 100 mata asas pada pertengahan Mac.

"Walaupun kita masih belum pasti sama ada pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin menghentikan seketika (kenaikan kadar faedah) dalam mesyuaratnya Mei depan, namun data sedia ada menunjukkan terdapat tanda-tanda tentatif kelemahan ekonomi negara itu," kata Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan itu susut berbanding pound Britain kepada 5.5078/5134 daripada 5.4552/4576 pada Isnin; rendah berbanding euro kepada 4.8118/8167 daripada 4.7930/7952 dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.3135/3171 daripada 3.3127/3145.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit turut diniagakan rendah iaitu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3198/3234 daripada 3.3182/3199; sebaliknya mengukuh berbanding dolar Filipina pada 8.07/8.09 daripada 8.07/8.07 namun rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 295.40/295.80 daripada 295.00/295.30.

Ringgit juga rendah berbanding baht Thailand kepada 12.8612/8800 daripada 12.8419/8537, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini