Ringgit meningkat berbanding dolar AS pada awal sesi dagangan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit meningkat berbanding dolar AS pada awal sesi dagangan


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit meningkat berbanding dolar AS pada sesi awal urus niaga hari ini, didorong minat belian baharu selepas Malaysia mencatatkan lebihan dagangan yang lebih tinggi sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan iaitu RM26.7 bilion pada Mac 2023, kata seorang penganalisis.

Lebihan dagangan itu merupakan lebihan bagi bulan ke-35 berturut-turut sejak Mei 2020 dan tertinggi pernah dicatatkan untuk Mac.

Pada 9.03 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.4295/4350 berbanding dolar AS daripada kadar penutup hari Rabu pada 4.4385/4435.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata lebihan dagangan mengukur perbezaan nilai antara barangan dan perkhidmatan yang dieksport dan diimport sepanjang tempoh yang dilaporkan dan pada kebiasaannya ia akan mendorong lebih ramai pelabur membeli ringgit.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2840/2886 daripada 3.2919/2959 pada penutup Rabu, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.5041/5109 daripada 5.5100/5162 tetapi merosot menjadi 4.8525/8585 daripada 4.8508/8563 berbanding euro.

Pada masa yang sama, mata wang tempatan turut mengukuh berbanding mata wang ASEAN.

Nilai ringgit lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 295.5/296.2 daripada 296.1/296.8 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3180/3223 daripada 3.3190/3230.

Ringgit menambah nilai 7.86/7.88 berbanding peso Filipina daripada tahap penutup Rabu 7.89/7.91 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.8578/8790 daripada 12.8719/8917. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini