Ringgit meningkat semula, pelabur masih tunggu petunjuk - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit meningkat semula, pelabur masih tunggu petunjuk


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit meningkat kembali dan dibuka tinggi berbanding dolar AS pada sesi awal dagangan Rabu walaupun kebanyakan pelabur masih menantikan lebih banyak petunjuk berhubung rentak inflasi di Amerika Syarikat (AS) daripada Indeks Harga Pengguna (IHP) bulan Mac, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.4145/4180 berbanding dolar AS daripada kadar penutup Selasa 4.4160/4210.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peserta pasaran akan menganalisis pandangan mereka mengenai kadar AS berdasarkan kepada data IHP negara itu.

"Beberapa siri ucapan Rizab Persekutuan minggu ini juga boleh membentuk keyakinan pemain pasaran yang kami fikir akan menyebelahi kepada meningkatkan kadar faedah," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) terbaharunya telah menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global mereka untuk 2023 dan 2024, masing-masing kepada 2.8 peratus dan 3.0 peratus.

Menurut Mohd Afzanizam, ini mewakili pengurangan 0.1 mata peratusan daripada unjuran Januari dan ia dikaitkan dengan inflasi yang sangat tinggi, serta kegawatan sektor kewangan baru-baru ini yang boleh menjejaskan senario asas untuk satu penurunan sederhana.

"Bagi ringgit, ia akan terus berada pada sekitar RM4.41 dan RM4.42 hari ini kerana pelabur dijangka kekal terkawal," katanya.

Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali menyusut nilai berbanding euro kepada 4.8224/8262 daripada 4.8196/8251 pada penutup Selasa.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.4868/4911 daripada 5.4939/5002 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.3025/3054 berbanding 3.3173/3216 semalam.

Berbanding mata wang ASEAN, mata wang tempatan didagangkan lebih tinggi.

Ringgit lebih tinggi berbanding peso Filipina pada 8.02/8.04 daripada 8.04/8.06 pada penutup Selasa dan meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.3132/3161 daripada 3.3156/3196 semalam.

Mata wang tempatan menokok sedikit berbanding rupiah Indonesia pada 296.50/296.90 daripada 296.6/297.10 pada Selasa dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.8796/8955 daripada 12.8998/9193 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini