Ringgit terus catat peningkatan berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus catat peningkatan berbanding dolar AS


 

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran meningkatnya berbanding dolar AS bagi hari kedua berturut-turut hari ini disokong oleh minat belian yang berterusan, kata seorang ahli ekonomi.

Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.3970/4020 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4020/4065 pada Selasa.

Ketua ahli ekonomi dan kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit ditutup lebih kukuh berbanding dolar AS sejajar dengan mata wang Asia lain seperti dolar Singapura, yuan China dan yen Jepun.

"Peserta pasaran nampaknya menaruh keyakinan terhadap ringgit.

"Peningkatan harga minyak mentah mungkin, pada satu tahap, membantu mengekalkan nilai ringgit berserta dengan jangkaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan membuat keputusan berkenaan kadar faedahnya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pasaran akan memantau rapat pengumuman Indeks US ISM bagi perkhidmatan pada malam ini yang dijangka susut kepada 54.5 mata berasaskan kepada anggaran konsensus.

"Jika trend terus membayangkan pertumbuhan yang lemah, ia mungkin membawa kepada penurunan seterusnya dolar AS dalam jangka masa terdekat," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding euro kepada 4.8156/8211 daripada paras penutup 4.8118/8167 pada Selasa, turun berbanding yen Jepun kepada 3.3399/3440 daripada 3.3135/3171, namun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4879/4941 daripada 5.5078/5134.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara Asean lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3165/3205 daripada paras penutup 3.3198/3234 pada Selasa dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 294.40/294.90 daripada 295.40/295.80.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding peso Filipina kepada 8.08/8.09 daripada 8.07/8.09 dan jatuh berbanding baht Thai kepada 12.9782/9991 daripada 12.8612/8800 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini