Ringgit terus merosot berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus merosot berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penyusutan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan diramal kekal lemah kerana telah mencapai paras rintangan serta-merta RM4.4236 berbanding dolar AS, kata Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.4315/4360 berbanding dolar AS daripada 4.4200/4250 sewaktu ditutup pada Isnin.

"Paras rintangan ringgit yang seterusnya adalah kepada RM4.4858 berbanding dolar AS. Setakat ini, ringgit berbanding unit negara maju berada dalam kedudukan terlebih beli dari sudut teknikal," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, meskipun ringgit lebih lemah berbanding dolar AS, mata wang tempatan akan menerima sedikit sokongan berikutan China mengeluarkan keputusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama tahun ini (suku keempat 2023) dengan peningkatan melebihi jangkaan kepada 4.5 peratus (suku keempat 2022: 2.9 peratus) berbanding anggaran konsensus sebanyak 4.0 peratus.

"Ini bererti ekonomi Malaysia akan menerima manfaat daripada pengukuhan pertumbuhan China menerusi perdagangan dan pelaburan. Kita boleh menjangkakan sokongan yang selanjutnya daripada pertumbuhan China melalui perdagangan dan pelaburan," katanya.

Sementara itu, ringgit lemah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit merosot berbanding euro kepada 4.8631/8681 daripada 4.8532/8587 pada Isnin; rendah berbanding pound Britain kepada 5.5101/5157 daripada 5.4808/4870 sebelumnya dan menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.3046/3082 daripada 3.2968/3008 semasa ditutup semalam.

Mata wang tempatan itu turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 298.5/299.0 daripada 298.7/299.2 pada Isnin dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.89/7.90 daripada 7.91/7.93 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut menguncup berbanding baht Thailand kepada 12.9228/9416 daripada 12.8604/8813 dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.3265/3301 daripada 3.3196/3238 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini