Ringgit terus merosot, RM4.43 satu dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus merosot, RM4.43 satu dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, kata Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.4385/4435 berbanding dolar AS daripada 4.4315/4360 sewaktu ditutup pada Selasa.

"Tidak banyak pemangkin sokongan untuk ringgit dan pada masa yang sama, sentimen pasaran cenderung ke arah dolar AS kerana ia seolah-olah mencadangkan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan menaikkan 25 mata asas dalam Kadar Dana Fed semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada bulan Mei.

"Ini dijangka menaikkan nilai dolar AS dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini mengumumkan bahawa eksport Malaysia jatuh 1.4 peratus tahun ke tahun pada Mac selepas mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 9.8 peratus pada bulan sebelumnya.

Mohd Afzanizam berkata, ini menunjukkan bahawa sektor luar Malaysia berkemungkinan kekal lemah dan permintaan domestik perlu berusaha keras bagi memastikan pertumbuhan keseluruhan mencapai pertumbuhan yang disasarkan empat peratus hingga lima peratus tahun ini.

Sementara itu, ringgit bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.8508/8563 daripada 4.8631/8681 pada Selasa, melonjak berbanding yen kepada 3.2919/2959 daripada 3.3046/3082 ketika ditutup semalam dan tidak berubah berbanding pound Britain pada 5.5100/5162 daripada 5.5101/5157 semalam.

Mata wang tempatan itu turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia pada 296.1/296.8 daripada 298.5/299.0 pada Selasa, meningkat berbanding baht Thai kepada 12.8719/8917 daripada 12.9228/9416, tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.89/7.91 daripada 7.89/7.90 and meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.3190/3230 daripada 3.3265/3301 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini