Ketidaktentuan ekonomi AS jatuhkan prestasi ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ketidaktentuan ekonomi AS jatuhkan prestasi ringgit


PUTRAJAYA - Ketidaktentuan ekonomi dan kewangan Amerika Syarikat (AS) sejak enam bulan lalu menjadi faktor dominan membawa kepada kejatuhan prestasi nilai ringgit.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dasar ekonomi dan kewangan telah melalui satu krisis kepada krisis baharu sejak awal tahun ini.

"Bank Pusat AS sedang mencari jalan dan belum memberi isyarat nyata sama ada untuk meneruskan dasar atau menetapkan kadar faedah sekali gus menimbulkan ketidaktentuan ekonomi global," katanya.

Beliau berkata, setiap kali ketidaktentuan berlaku, pasaran antarabangsa memilih untuk melindungi risiko mereka.

"Dua instrumen pelaburan selamat adalah emas dan dolar," katanya menerusi sidang media pasca Mesyuarat Platfom Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Bilangan 3/2023 di sini pada Rabu.

Ujar Rafizi, sehingga kini tiada persetujuan antara presiden dan kongres berhubung had siling hutang dan belanjawan AS dicapai.

"Apabila ia tidak dipersetujui, terdapat risiko yang mana kerajaan AS tidak boleh membayar hutang mereka dan ia sekali gus akan menyumbang ketidaktentuan kepada nilai ringgit Malaysia," tambahnya.

Menurut beliau, kedudukan prestasi mata wang Malaysia dari Disember 2022 hingga awal Februari tahun mengukuh iaitu pada paras RM4.20 untuk AS$1 adalah sebahagiannya kerana kestabilan politik dan prestasi ekonomi yang baik.

"Tetapi bermula Februari lepas ia mula jatuh disebabkan rentetan daripada krisis-krisis ini yang berada di luar kawalan kita,” katanya.

Ringgit terus diniagakan lebih lemah berbanding dolar AS pada sesi awal dagangan pagi Rabu di tengah-tengah kekurangan petunjuk mengenai penyelesaian kepada kebuntuan had hutang Amerika Syarikat.

Pada 9.05 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.6025/6060 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa pada paras 4.6005/6045.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan AS sedang bergelut menyelesaikan isu had siling hutang itu secepat mungkin.

Presiden AS Joe Biden juga menyebut bahawa pentadbirannya akan cuba menyelesaikannya sebelum 6 Jun depan.

Sementara itu, Rafizi berkata, kadar dasar semalaman (OPR) Malaysia iaitu tiga peratus boleh dikatakan jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara serantau yang mencecah hampir lima peratus.

Tambah beliau, negara lain menormalkan kembali kadar faedah itu pada pasca pandemik Covid-19 manakala Malaysia sedikit ketinggalan susulan berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas.

“Pandangan saya, ada perkara di luar kawalan kita dan ada perkara dalam kawalan kita dalam uruskan ekonomi.

'Sebab itu ia penting untuk kita ambil perspektif keseluruhan mengenai prestasi ekonomi selain mata wang sahaja dan kita tumpu pada pertumbuhan ekonomi dari suku ke suku dan prestasi inflasi,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini