Nilai ringgit jatuh akibat kurang pemangkin - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai ringgit jatuh akibat kurang pemangkin


KUALA LUMPUR: Keuntungan ringgit pada minggu sebelumnya menyusut sedikit hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akibat kekurangan pemangkin di tengah-tengah pengukuhan dolar AS hari ini, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.4360/4380 berbanding dolar AS daripada 4.4350/4400 semasa ditutup pada Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pelabur sedang menunggu data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2023 yang dijangka akan diumumkan pada akhir minggu ini untuk petunjuk ke hadapan.

"KDNK suku pertama 2023 yang akan diumumkan pada Jumaat akan memberi kita lebih banyak petunjuk mengenai prestasi ekonomi Malaysia dalam tempoh terdekat.

"Kami juga percaya bahawa pasaran telah pun menjangkakan penetapan Rizab Persekutuan (Fed) terhadap dasar monetari yang diramalkan lebih lembut," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, peserta pasaran akan memerhatikan sama ada ekonomi akan terus perlahan dan sama ada Fed akan mengubah pendiriannya walaupun mengetahui pemulihan inflasi akan memakan masa khususnya ke arah sasaran dua peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia lebih lemah berbanding pound Britain pada 5.6084/6110 daripada 5.5908/5971 dan jatuh berbanding euro kepada 4.8960/8982 daripada 4.8900/8955, namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2854/2872 daripada 3.3050/3090.

Mata wang tempatan itu diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1184/1302 daripada 13.1446/1661 serta bertambah baik berbanding rupiah Indonesia kepada 301.5/301.8 daripada 302.1/302.6.

Ringgit bagaimanapun rendah berbanding dolar Singapura pada 3.3489/3507 daripada 3.3464/3507 yang dicatatkan semasa akhir minggu lepas dan tidak berubah berbanding dolar Filipina pada 8.02/8.03.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini