Nilai ringgit terus jatuh berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai ringgit terus jatuh berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan kerugian minggu lalu untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini ekoran kebimbangan terhadap ekonomi global yang lembap, kata pakar ekonomi.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.4960/4985 berbanding dolar AS daripada 4.4765/4835 pada penutup Jumaat.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit melepasi paras 4.5000 hari ini, dan kebimbangan mengenai ketidaktentuan terhadap had hutang AS nampaknya menjadi tumpuan yang mengakibatkan pelabur kekal berhati-hati.

"Sekiranya penarikan had hutang ditangguhkan, risiko mungkir bagi kerajaan AS akan meningkat kerana mereka tidak boleh membiayai semula pinjaman sedia ada dan meningkatkan wang tunai tambahan bagi perbelanjaan mereka.

"Jadi pada masa ini ia berada dalam mod mengelak risiko. Jangkaan ringgit kekal lemah sehingga kebuntuan had siling hutang diselesaikan," katanya.

Ketika ditutup, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding euro kepada 4.8863/8890 daripada 4.8839/8915 pada penutup Jumaat dan jatuh berbanding pound Britain pada 5.6169/6200 berbanding 5.6082/6169 sebelum ini tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3010/3031 daripada 3.3233/3290.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan itu menyusut berbanding baht Thailand kepada 13.3045/3174 daripada 13.1658/1922 pada penutup Jumaat dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 303.6/304.0 daripada 303.4/304.1 pada minggu lalu.

Ia juga jatuh kepada 3.3592/3616 berbanding dolar Singapura daripada 3.3552/3609 pada Jumaat lalu tetapi hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.02/8.03 daripada 8.02/8.04.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini