Ringgit boleh jatuh sehingga RM5 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit boleh jatuh sehingga RM5 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang lain dalam tempoh enam bulan dan ketika ini didagangkan menghampiri paras rintangan pada 4.6257 berikutan krisis siling hutang AS, kata Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Kali terakhir unit tempatan diniagakan pada paras semasa adalah pada 11 November 2022.

Pada 6 petang, ringgit berada pada paras 4.6245/6285 berbanding dolar AS daripada 4.5920/5950 ketika ditutup pada Rabu.

Mohd Afzanizam berkata, risiko siling hutang AS kekal menjadi kebimbangan utama dan pasaran kewangan dijangka kekal bimbang terhadap krisis siling hutang AS yang berlanjutan dan ekonomi global semakin lemah.

"Kami menjangkakan ia tidak memberi kesan kepada ringgit Malaysia. Bagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia, kami percaya ia akan kekal pada 3.00 peratus sepanjang tahun kerana ketidakpastian luaran meningkat yang mungkin memberi kesan langsung kepada permintaan luar Malaysia," katanya kepada Bernama.

Secara ringkasnya, terdapat rasa kebimbangan yang lebih besar terhadap prospek ekonomi global.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Ketua Kumpulan, Penyelidikan Pasaran Kumpulan Perbankan RHB, Dr Sailesh K Jha, berkata bank itu telah menunjukkan sasaran jangka pendeknya untuk dolar AS-ringgit iaiatu 4.60 tetapi telah berubah, sasaran jangka pendek untuk dolar AS-ringgit dinaikkan kepada 4.70 dengan baki risiko cenderung ke paras sekitar 4.75.

"Imbangan risiko kepada unjuran dolar AS-ringgit akhir suku kedua 2023 kami adalah antara 4.55 dan 4.65 cenderung ke paras 4.65 dan 4.75.

"Kami menjangkakan tahap rintangan dolar AS-ringgit yang kukuh seterusnya pada 4.6385 dan 4.6470 akan berubah dengan cepat kepada paras 4.70, katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Beliau berkata, bagi jangka sederhana, bank itu tidak akan menolak berkemungkinan dolar AS-ringgit mencecah paras 5.0.

"Sasaran jangka pendek dolar dolar Singapura-ringgit pada 3.40 juga telah berubah dan kami meningkatkan sasaran kami kepada antara 3.45 dan 3.50," katanya.

Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit turut susut berbanding kelompok mata wang utama kecuali yen Jepun.

Unit tempatan merosot berbanding pound Britain kepada 5.7247/7296 daripada 5.6877/6914 ketika ditutup pada Rabu, jatuh berbanding euro kepada 4.9630/9673 daripada 4.9470/9502 tetapi naik berbanding yen Jepun kepada 3.3141/3172 daripada 3.3148/3172 semalam.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Unit tempatan berada pada 3.4202/4237 daripada 3.4091/4115 berbanding dolar Singapura, berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 309.2/309.6 daripada 308.1/308.5 ketika ditutup pada Rabu, menguncup berbanding peso Filipina kepada 8.25/8.26 daripada 8.23/8.24 dan merosot berbanding baht Thai kepada 13.3602/3776 daripada 13.2924/3073 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini