Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar US selepas para peniaga mengambil keputusan untuk menunggu kadar baharu Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.4640/4640 berbanding dolar US daripada 4.4600/4645 yang dicatatkan semasa Jumaat minggu lepas.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata hampir semua pakar ekonomi yang ditinjau Bloomberg menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 2.75 peratus.

Tiga ahli ekonomi meramalkan kadar itu akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas.

"Indeks Pengurus Pembelian (IPP) terkini bagi Malaysia dikekalkan pada 48.8 mata untuk April. Ini menandakan penguncupan bulan kelapan berturut-turut berkenaan dengan sentimen perniagaan dalam sektor pembuatan.

"Ini boleh membantu meningkatkan senario tiadanya perubahan dalam OPR apabila ahli-ahli MPC bermesyuarat esok," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ringgit harus kekal pada paras semasa 4.46 memandangkan peserta pasaran juga menunggu pendirian FOMC terhadap dasar akan datang, yang juga akan dikeluarkan esok.

"Dari sudut teknikal, ringgit berlegar di kedudukan terlebih jual, menunjukkan kemungkinan adanya kenaikan. Mungkin keputusan Fed yang kurang memberangsangkan akan mengukuhkan nilai ringgit dalam tempoh terdekat," katanya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama.

Ia menokok berbanding yen Jepun kepada 3.2388/2402 daripada 3.2770/2805, naik berbanding euro kepada 4.8902/8906 daripada 4.9011/9060 tetapi jatuh berbanding pound Britain kepada 5.5632/5636 daripada 5.5558/5614 sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 303.3/303.5 daripada 303.9/304.3 yang dicatatkan semasa Jumaat lepas dan lebih tinggi berbanding baht Thailand pada 13.0423/0478 daripada 13.0612/0801.

Bagaimanapun ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.3411/3414 daripada 3.3351/3387 dan tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 8.05/8.07 daripada 8.05/8.06 sebelum ini. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini