Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, dipengaruhi oleh Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia bagi suku pertama 2023 yang menunjukkan kadar pertumbuhan rendah selain perbincangan pasaran berhubung kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) terkini yang mungkin terakhir bagi 2023, menurut ahli ekonomi.

Pada 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.4460/4500 berbanding dolar AS daripada 4.4360/4380 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata IPP terkini menunjukkan kegiatan pengeluaran dalam kalangan pembuat adalah perlahan iaitu 2.8 peratus dari segi pertumbuhan tahun ke tahun, berbanding 4.0 peratus pada suku keempat 2022 dan 12.2 peratus pada suku ketiga 2022.

"Jelas, Malaysia ialah sebuah ekonomi yang terbuka, manakala perdagangan dan pelaburan akan kekal mudah terpengaruh dengan penyederhanaan permintaan luaran," katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas, beliau berkata langkah Bank Negara Malaysia itu dilihat sebagai kenaikan terakhir bagi 2023 memandangkan bank pusat mungkin mahu pendirian dasar monetarinya kekal akomodatif untuk pertumbuhan.

"Ini mungin boleh mengehadkan potensi kenaikan ringgit dalam tempoh terdekat manakala kelaziman enggan mengambil risiko juga boleh berlaku," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.8835/8879 daripada 4.8960/8982 ketika ditutup Isnin namun susut berbanding pound British kepada 5.6126/6177 daripada 5.6084/6110.

Ringgit turut rendah berbanding yen Jepun kepada 3.2963/2995 daripada 3.2854/2872.

Unit tempatan juga didagangkan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara Asean.

Ringgit tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.97/7.98 daripada 8.02/8.03 ketika ditutup semalam namun, turun berbanding baht Thailand kepada 13.1835/2016 daripada 13.1184/1302.

Unit domestik juga rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3522/3557 berbanding 3.3489/3507 semalam, dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 301.6/301.9 daripada 301.5/301.8. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini