Pada masa ini, perdagangan Forex tersedia untuk semua orang asalkan anda mempunyai komputer yang baik dan sambungan Internet yang stabil. Walau bagaimanapun, tidak ramai yang tahu bahawa pertukaran matawang bukanlah satu perkara yang baharu. Malah, ia telah wujud sejak zaman dahulu, semasa tamadun manusia pertama mula menggunakan wang dan menjalinkan hubungan perdagangan antara satu sama lain.
Dalam artikel ini, anda akan belajar tentang evolusi pertukaran matawang yang telah dijalankan selama berabad-abad lamanya dan bagaimana perdagangan Forex moden telah berkembang dan menjadi seperti yang kita ketahui hari ini.
Sejarah awal
Bentuk matawang pertama yang diketahui ialah — shekel — yang telah dicipta sekitar 5,000 tahun dahulu oleh orang Mesopotamia. Sebelum itu, sistem pertukaran barang atau lebih dikenali sebagai sistem barter adalah kaedah utama pertukaran. Barangan seperti kulit haiwan, garam, dan rempah ratus telah mendapat permintaan yang tinggi dan digunakan sebagai medium untuk pertukaran bagi barangan lain.
Kemudian, pada sekitar 700 SM orang di pelbagai negara mula menggunakan emas (dan kadangkala perak) untuk menghasilkan syiling yang pertama. Matawang terawal ini membantu membentuk ekonomi, membawa keseragaman dan piawaian kepada perdagangan.
Pasaran Forex yang pertama
Apabila masa berlalu, semakin banyak negara muncul di seluruh dunia, yang menggunakan matawang mereka sendiri dan menjalinkan perdagangan dengan jiran-jiran mereka. Untuk sekian lama, tidak ada sebarang percubaan besar untuk mewujudkan institusi berasingan bagi perdagangan Forex secara khusus. Walau bagaimanapun, pada abad ke-17, Amsterdam telah membuka pasaran Forex pertama di Eropah. Pasaran ini tertumpu pada perdagangan matawang County of Holland dan Kerajaan England, yang membantu menstabilkan kadar pertukaran pasangan matawang. Selepas itu, pasaran Forex dan perdagangan Forex mula tersebar ke seluruh dunia.
Kebangkitan dan kejatuhan Standard Emas
Dari masa ke masa, manusia semakin jelas betapa penggunaan syiling emas dan perak dalam perdagangan harian secara umumnya tidak praktikal kerana bilangan syiling emas yang ada dalam edaran agak terhad. Untuk menyelesaikan masalah ini, kerajaan mula memperkenalkan wang kertas yang berfungsi sebagai nota janji untuk membayar pemilik wang kertas ini sejumlah tertentu emas atau perak.
Walau bagaimanapun, wang kertas ini tidak mempunyai nilai intrinsik tanpa dekri kerajaan yang menghubungkan nilainya dengan nilai logam berharga. Jika sesebuah negara memutuskan untuk mencetak lebih banyak wang kertas secara berwewenang, ini boleh menyebabkan kejatuhan nilai matawangnya.
Bagi mengelakkannya, banyak negara di seluruh dunia memutuskan untuk menerima pakai apa yang dipanggil Standard Emas. Standard ini membenarkan kerajaan mengikat nilai matawang mereka dengan sejumlah tertentu emas. Sebagai contoh, jika satu auns emas ditetapkan pada harga $1,000, maka nilai satu dolar bersamaan dengan 0.001 auns emas. Oleh sebab itu, jumlah wang kertas yang boleh dicetak oleh sesebuah negara adalah terhad kepada jumlah emas yang dipegang dalam rizabnya. Piawaian ini adalah bagi memastikan kestabilan harga dan menghalang inflasi yang disebabkan oleh ketidakupayaan kerajaan untuk mengembangkan bekalan wang.
Untuk pertukaran asing, hubungan baharu antara nilai matawang dan emas ini memudahkan kita menisbahkan pelbagai matawang antara satu sama lain. Oleh kerana amaun yang diperlukan untuk membeli satu auns emas adalah berbeza-beza bagi setiap matawang, ia mula bertindak sebagai ukuran untuk kadar pertukaran.
Menjelang akhir abad ke-19 Standard Emas telah digunakan di kebanyakan negara perindustrian di seluruh dunia. Ia mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk memupuk perdagangan antarabangsa dan mempercepatkan revolusi perindustrian.
Walau bagaimanapun, apabila Perang Dunia Pertama tercetus, perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh negara-negara melebihi rizab emas yang mereka ada dengan margin yang besar, ini mendorong mereka mengabaikan had yang dikenakan oleh Standard Emas dan mula mencetak lebih banyak wang, tanpa mempedulikan berapa banyak rizab emas sebenar yang mereka ada.
Menjelang penghujung tahun 1930-an dan dengan Perang Dunia Kedua yang sedang melanda, telah jelas bahawa Standard Emas tidak mampan untuk digunakan ketika sesebuah negara sedang mengalami kemelesetan ekonomi.
Sistem Bretton Woods: lembaran baharu dalam sejarah perdagangan antarabangsa
Apabila Perang Dunia Kedua mula berakhir, negara-negara yang terjejas secara langsung oleh tindakan ketenteraan mengalami kesukaran untuk bangkit semula. Pada tahun 1944, perwakilan beberapa negara dari seluruh dunia mengadakan persidangan di Bretton Woods, Amerika Syarikat, dan menandatangani Perjanjian Bretton Woods. Acara ini meletakkan asas bagi sistem ekonomi antarabangsa baharu yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kewangan antarabangsa.
Sistem baharu ini sebahagiannya adalah berdasarkan pada Standard Emas, tetapi kali ini hanya nilai dolar AS yang diikat kepada nilai emas ($35 per auns) kerana pada masa itu AS memegang rizab emas terbesar di dunia. Negara lain yang menggunakan sistem ini (43 negara selain daripada AS) akan menambat matawang mereka sendiri kepada dolar AS, dengan sisihan maksimum sebanyak 1% dibenarkan. Jika nilai matawang mula menyisih di luar julat yang dibenarkan, negara itu perlu membetulkannya dengan membeli atau menjual dolar AS.
Sistem ini menyediakan kestabilan yang sangat diperlukan kepada pasaran global dan membantu meminimumkan kemeruapan kadar pertukaran. Ia juga menyebabkan dolar AS menjadi matawang rizab global.
Sistem Bretton Woods bertahan selama beberapa dekad sehingga tahun 1970-an, apabila jumlah dolar dalam edaran di seluruh dunia mula melebihi bekalan emas dalam rizab emas AS. Disebabkan ini, pada tahun 1971 Presiden AS Richard Nixon telah menggantung operasi sistem buat sementara, dan pada tahun 1973 ia runtuh sepenuhnya.
Sistem terapung bebas (free-floating)
Berakhirnya sistem Bretton Woods mencetuskan kebangkitan sistem terapung bebas di mana nilai matawang terapung bebas tanpa terikat dengan harga emas. Sistem baharu ini dahulunya dan hingga kini masih berasaskan konsep wang fiat, yang nilainya tidak disokong oleh mana-mana komoditi, tetapi disokong oleh kerajaan yang mengeluarkannya.
Dalam sistem terapung bebas, nilai matawang dibenarkan untuk berubah mengikut kestabilan dan kekuatan ekonomi negaranya, disamping mencerminkan tahap penawaran dan permintaan matawang ini di pasaran Forex.
Walaupun Standard Emas tidak digunakan lagi, tidak semua negara menerima sistem terapung bebas sebagai norma baharu mereka. Sebagai contoh, baru-baru ini China telah menambat matawangnya, yuan, kepada dolar AS. Pada masa ini, bank pusat China membenarkan yuan terapung, tetapi akan campur tangan jika kadar pertukarannya meningkat kepada 2% di atas atau jatuh 2% di bawah kadar titik tengah hari itu.
Namun begitu, sistem terapung bebas telah diterima oleh sebahagian besar dunia, membenarkan lebih banyak kebebasan di pasaran Forex dan memastikan ia selamat daripada campur tangan kerajaan.
Zaman Internet
Internet adalah satu keajaiban kemajuan teknologi yang menghimpunkan berbilion-bilion orang dari seluruh dunia. Dengan persekitaran digital baharu, akses kepada pasaran Forex tidak terhad kepada bank pusat dan institusi kewangan besar sahaja. Penciptaan pelbagai platform perdagangan dalam talian membolehkan perdagangan Forex tersebar dan mendapat populariti dalam kalangan individu yang kini dikenali sebagai pedagang runcit. Ini membawa lebih ramai pemain ke pasaran Forex, dan dengan bantuan broker, mereka kini boleh mengambil bahagian dalam aktiviti yang dahulunya tidak tersedia kepada orang awam.
Seperti yang anda lihat, perdagangan Forex mempunyai sejarah yang agak panjang, bermula seawal permulaan tamadun manusia. Selepas mengalami banyak perubahan radikal, perdagangan Forex kini akhirnya tersedia buat semua orang yang berminat untuk mendapatkan keuntungan daripadanya. Jadi cepat dan ambil peluang ini untuk mencipta kisah anda sendiri dalam sejarah perdagangan Forex dengan FBS!