KUALA LUMPUR: Keputusan yang bakal diambil oleh bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) berkaitan kadar faedah pada minggu ini akan menjadi penentu kepada kestabilan pasaran saham dan ringgit, kata penganalisis.
Pelabur masih terus menunggu kejelasan mengenai dasar Fed yang dijangka keputusannya akan diketahui esok selepas mesyuarat selama dua hari bermula hari ini.
Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata sehingga menunggu keputusan Fed itu, pasaran saham akan tidak menentu dan mata wang tempatan dijangka terus menyusut.
Beliau berkata, berdasarkan data ekonomi semasa AS seperti penurunan kadar pengangguran, kadar inflasi negara itu akan terus meningkat, memungkinkan bank pusat itu untuk sekali lagi menaikkan kadar faedahnya.
"Justeru, pelabur yang kini berpegang kepada dolar AS sebagai pegangan selamat pasti akan terus menunggu tindakan susulan Fed yang sekiranya berlaku bakal menambahkan keuntungan.
"Namun, jika kadar faedahnya tidak dinaikkan, dolar AS akan sedikit menyusut kerana kadar faedah bon perbendaharaan AS sudah pun tinggi.
"Jelas, ini akan memberikan kesan negatif kepada Malaysia secara umumnya kerana aliran pasaran modal tertumpu kepada AS dan tidak kepada bursa saham negara membangun lain seperti Malaysia," katanya.
Aimi Zulhazmi berkata, ringgit juga pada masa sama dijangka terus melemah sementara menunggu keputusan Fed itu.
Beliau bagaimanapun berkata, mata wang asing lain juga turut seiring melemah dengan peningkatan nilai dolar AS.
"Indeks DXY yang menyukat kekuatan dolar AS berbanding beberapa mata wang utama dunia yang lain, tetap mengukuh minggu lalu menunjukkan sokongan kepada dolar AS masih kuat," katanya.
Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, prestasi Bursa Malaysia yang merudum ke paras terendah sejak April 2020 pada minggu lalu juga antara faktor yang berkait dengan dasar yang dilaksanakan AS.
Beliau berkata, secara umumnya, Bursa Malaysia sepatutnya kembali menghampiri prestasi indeks pada 1,400 mata minggu lalu apabila isu had siling hutang kerajaan AS berjaya diselesaikan lebih awal daripada yang dijangka.
Namun katanya, laporan prestasi kewangan syarikat-syarikat utama Malaysia untuk suku pertama 2023 kurang memberangsangkan berikutan ekonomi dunia yang masih tidak stabil memberi kesan kepada prestasi pasaran saham negara.
Selain itu, katanya faktor lain yang memberi kesan kepada prestasi kurang memberangsangkan pasaran saham tempatan adalah ketidakstabilan industri minyak dan gas negara yang dijangka sederhana untuk tahun ini dengan penurunan harga minyak mentah.
Industri minyak sawit negara juga, katanya turut menghadapi cabaran dengan penurunan harga berikutan peningkatan pengeluaran.
"Ini menyebabkan pengurus dana antarabangsa mengambil langkah berhati-hati berikutan prestasi kebanyakan syarikat Malaysia sedang menghadapi cabaran getir mengikut industri masing-masing.
"Kita harus faham pengurus dana menganggap Malaysia seperti satu portfolio di antara pelbagai portfolio yang lain.
"Sekiranya prestasi bagus, maka mereka akan melabur untuk mendapatkan keuntungan dan jika tidak akan melakukan yang sebaliknya," katanya.
Aimi Zulhazmi berkata, selain perniagaan dan ekonomi, pelabur turut melihat aspek lain seperti kestabilan politik, sokongan rantaian nilai bekalan dan sumber bahan mentah.
Beliau berkata, prestasi ini bagaimanapun dijangka memberikan kesan positif berdasarkan unjuran ekonomi China akan menjadi lebih baik pada separuh kedua 2023.