Ringgit diunjur kekal di paras RM4.60 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit diunjur kekal di paras RM4.60 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit berkemungkinan kekal pada paras semasa berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), berlegar sekitar 4.60 hingga 4.61, kerana tindakan dasar monetari akan terus menjadi tumpuan dengan beberapa pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS berkongsi pendapat mereka berhubung isu itu dengan orang ramai.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pada masa yang sama, kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global semakin meningkat.

"Ini dicerminkan dalam unjuran konsensus untuk eksport Malaysia yang dijangka menurun sebanyak 11.7 peratus pada Jun selepas jatuh pada kadar 17.4 peratus pada Mei.

"Nampaknya mod penghindaran risiko akan diguna pakai minggu depan, yang membawa kepada julat yang ketat untuk dolar AS/ringgit, mungkin sekitar 4.60 hingga 4.61," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit boleh meningkat berbanding dolar AS minggu depan kerana lebih banyak rangsangan berterusan dijangka daripada penggubal dasar China, yang ditujukan kepada pasaran hartanah dan pengangguran belia, yang seharusnya meningkatkan lagi sentimen.

"Dolar AS/ringgit boleh menguji paras 4.60 minggu depan, jadi jangkaan saya untuk minggu depan (ini) ialah daripada 4.6050 kepada 4.6250," tambahnya.

Pada minggu ini, ringgit lebih lemah berbanding dolar AS apabila pelabur kekal di luar pasaran bagi menunggu keputusan daripada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada 13 dan 14 Jun.

Bank pusat AS telah mengekalkan kadar dasarnya pada julat 5.00 peratus hingga 5.25 peratus.

Bagi minggu dagangan yang baru berakhir, mata wang tempatan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama di sepanjang hari dagangan.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.6130/6165 daripada 4.6115/6160 seminggu sebelumnya.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2721/2748 daripada 3.3022/3059 pada Jumaat sebelumnya, susut berbanding pound British kepada 5.9014/9059 daripada 5.7819/7875 minggu terdahulu dan jatuh berbanding euro kepada 5.0503/0541 daripada 4.9611/9659 sebelum ini.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang rakan ASEAN.

Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 308.7/309.1 daripada 310.6/311.2 sebelum ini tetapi turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4513/4542 daripada 3.4294/4330 seminggu sebelumnya.

Unit domestik itu naik berbanding baht Thailand kepada 13.2974/3140 daripada 13.3196/3376 minggu sebelumnya dan jatuh berbanding peso Filipina kepada 8.26/8.27 daripada 8.23/8.24 pada Jumaat minggu terdahulu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini