Ringgit diunjur RM4.54 hingga RM4.56 sedolar AS minggu ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit diunjur RM4.54 hingga RM4.56 sedolar AS minggu ini


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka kekal pada paras semasa berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini, dengan kecenderungan sedikit negatif pada RM4.54 hingga RM4.56 disebabkan data makro AS yang kukuh, kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata fokus minggu ini ialah titik data AS terutamanya laporan pasaran kerja dan indeks pembuatan Insitute for Supply Management (ISM).

"Memandangkan Rizab Persekutuan AS (Fed) menjadi lebih bergantung kepada data, titik data yang lebih baik daripada jangkaan akan membawa kepada kemantapan dolar," katanya kepada Bernama.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berpendapat data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS yang lebih kukuh hanya akan mempengaruhi perubahan permainan jangka pendek.

"Kita perlu melihat pulangan modal yang lebih positif di Malaysia untuk menjual dolar serta membeli ringgit. Pada masa sekarang, hasil AS adalah jauh lebih tinggi dan keyakinan pasaran saham jauh lebih baik di AS sekarang," katanya.

Data KDNK sebenar AS menokok pada kadar tahunan 2.4 peratus menjelang suku kedua 2023, lebih cepat daripada jangkaan.

"Oleh itu, ia akan memberikan halangan pada minggu ini walaupun kami kekal optimis terhadap ringgit pada minggu berkenaan iaitu antara RM4.5460 hingga RM4.5660," katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi di tengah-tengah kenaikan harga minyak dan keputusan Fed untuk menaikkan Kadar Dana Fed (FFR) sebanyak 25 mata asas (bps).

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit menokok berbanding dolar AS pada 4.5535/5565 berbanding 4.5600/5655 yang dicatatkan semasa minggu sebelumnya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama.

Ia bertambah baik berbanding pound Britain kepada 5.8362/8401 daripada 5.9338/9371, naik berbanding euro kepada 4.9966/9998 daripada 5.0799/0827 tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.2691/2715 daripada 3.2659/2679 sebelum ini.

Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang lain di ASEAN.

Unit tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4183/4208 daripada 3.4304/4350, lebih baik berbanding baht Thailand pada 13.2058/2218 daripada 13.2327/2541, kukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 301.4/301.8 daripada 303.4/303.9 dan melonjak berbanding peso Filipina kepada 8.29/8.31 daripada 8.33/8.34.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini