Ringgit mata wang paling lemah di Asia tahun ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mata wang paling lemah di Asia tahun ini


KUALA LUMPUR: Ringgit mencatatkan penurunan hampir enam peratus pada separuh pertama 2023, menerajui kejatuhan dalam kalangan mata wang negara Asia, manakala pasaran saham negara ini dan Thailand adalah yang terburuk.

Kebanyakan mata wang Asia hari ini pulih daripada kerugian awal, dengan peso Filipina dan baht Thailand menerajui peningkatan dengan masing-masing mencatatkan kenaikan 0.4 peratus.

Bagi separuh pertama 2023, ringgit adalah mata wang yang mencatatkan kejatuhan terbesar dalam kalangan negara sedang pesat membangun Asia, apabila susut 5.8 peratus disebabkan oleh aliran keluar modal.

Ia kali terakhir diniagakan pada 4.670 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menghampiri paras terendah dalam lapan bulan.

"Ringgit mencatatkan prestasi mengecewakan di Asia berikutan aliran keluar ekuiti asing yang berterusan. Begitupun, peningkatan dari segi pertumbuhan boleh memulihkan sentimen dan kita boleh melihat ringgit berbanding dolar AS berada antara paras 4.60 hingga 4.70 pada separuh kedua 2023," kata Ahli Strategi Makro DBS Bank, Wei Liang Chang.

Pasaran saham tempatan jatuh hampir lapan peratus dalam tempoh sama, dan antara yang mencatatkan prestasi terburuk di rantau ini.

Minggu depan, Bank Negara Malaysia (BNM) akan bermesyuarat untuk menentukan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Penganalisis di Barclays menjangkakan bank pusat akan mengekalkan kadar penanda arasnya.

Sementara itu, baht Thailand jatuh hampir tiga peratus tahun ini dan ketika ini berada di paras terendah dalam tujuh bulan.

Ia kekal berada di bawah tekanan apabila ekonomi kedua terbesar Asia Tenggara itu mengalami keadaan tidak menentu untuk memilih Perdana Menteri baharu.

"Punca utama (kelemahan mata wang Asia berbanding dolar AS) adalah Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), (Jerome) Powell terus membayangkan retorik kadar faedah tinggi, dengan memberikan isyarat sekurang-kurangnya dua kali lagi kenaikan kadar," kata Ahli Strategi Kanan Asia ANZ, Irene Cheung.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini