Ringgit berakhir kurang memberangsangkan minggu lepas - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit berakhir kurang memberangsangkan minggu lepas


KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri dagangan minggu ini dengan kurang memberangsangkan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, di tengah-tengah sentimen berhati-hati menjelang pilihan raya di enam negeri Malaysia, esok.

Pengukuhan dolar AS juga didorong oleh hasil Perbendaharaan 10 tahun AS yang lebih tinggi selepas pengumuman berkaitan data inflasi negara maju itu semalam, kata penganalisis.

Pada 6 petang Jumaat, ringgit turun ke paras 4.5865/5895 berbanding dolar AS daripada 4.5690/5720, semalam.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata dolar AS mengukuh ketika peniaga tidak yakin pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) akan bertindak menangguhkan kitaran kenaikan kadar faedah itu pada masa sini berikutan terdapat satu lagi pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) dan laporan penggajian sebelum bank pusat negara itu bermesyuarat pada September.

"Sehubungan itu, kemungkinan satu lagi kenaikan kadar faedah itu tidak boleh dinafikan, terutama dalam keadaan kadar faedah berkaitan tenaga dan makanan yang tinggi. Akibatnya, hasil bon meningkat dan seterusnya memberi kesan negatif terhadap ringgit," katanya kepada Bernama.

Innes berkata, kebimbangan kredit membabitkan kalangan pemaju perumahan China, juga hanya menjejaskan lagi sentimen di negara itu dengan tempiasnya turut dialami ringgit.

Selain itu, beliau berkata penyusutan pertumbuhan ekonomi Singapura yang berlaku di bawah jangkaan, hanya membayangkan keadaan lebih perlahan di republik itu dan berpotensi menjejaskan eksport dan perkhidmatan Malaysia sekiranya menjadi lebih buruk.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding yen kepada 3.1712/1735 daripada 3.1760/1783, meningkat berbanding pound kepada 5.8230/8268 daripada 5.8296/8334 namun rendah berbanding euro kepada 5.0351/0384 daripada 5.0350/0383, sebelum ini.

Pada masa sama, unit tempatan itu diniagakan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3967/3991 daripada 3.3948/3975 pada akhir urus niaga Khamis dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 301.3/301.6 daripada 300.8/301.2, semalam.

Ringgit turun berbanding peso Filipina kepada 8.14/8.15 daripada 8.12/8.13 pada Khamis dan rendah berbanding baht Thailand pada 13.0737/0871 daripada 13.0112/0264, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini