Ringgit mula mengukuh, RM4.57 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mula mengukuh, RM4.57 sedolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit mula mengukuh untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas sentimen risiko yang bertambah baik telah menjejaskan mata wang selamat itu.

Pemantapan ringgit adalah seiring dengan mata wang serantau yang menjejaki kenaikan yuan berikutan data inflasi China yang agak positif, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.5705/5755 berbanding dolar AS daripada 4.5815/5845 pada penutup Selasa.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata banyak data yang dipaparkan hari ini telah mendedahkan bahawa harga pengguna China telah berkurangan sebanyak 0.3 peratus pada Julai berbanding tempoh yang sama tahun lalu, lebih baik daripada jangkaan tetapi ia adalah penurunan pertama sejak Februari 2021.

Beliau melihat peniaga menukar pendekatan urus niaga mereka daripada perdagangan berisiko semalam, yang telah menyebabkan lonjakan permintaan terhadap dolar AS sebagai mata wang selamat.

"Bagaimanapun tindak balas pasaran terhadap data ekonomi China adalah minimum. Kebanyakan peralihan dalam aktiviti pasaran ini berkemungkinan disebabkan oleh peniaga sedang menyesuaikan kedudukan mereka sebelum pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) AS.

"Pasaran mata wang, bon dan saham cenderung untuk bertindak balas kepada keputusan IHP, yang boleh membawa kepada turun naik pasaran yang ketara," kata Innes kepada Bernama.

Bagi ringgit, beliau menekankan bahawa ia akan menguntungkan jika pengumuman inflasi IHP adalah lebih rendah daripada konsensus.

Ringgit juga mendapat sokongan daripada kenaikan harga minyak, berikutan laporan bulanan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS yang meramalkan peningkatan 1.9 peratus dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS pada 2023, lebih tinggi daripada unjuran mereka sebelum ini iaitu sebanyak 1.5 peratus, kata Innes.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menokok berbanding yen Jepun kepada 3.1897/1934 daripada 3.2027/2050 yang disaksikan semalam, mengukuh berbanding euro kepada 5.0175/0230 daripada 5.0264/0297 dan lebih baik berbanding pound British kepada 5.8187/8251 daripada 5.8332/8370 sebelumnya.

Pada masa yang sama, unit tempatan itu diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3979/4021 daripada 3.4030/4055 dan agak mantap berbanding rupiah Indonesia kepada 300.9/301.3 daripada 301.0/301.3 semalam.

Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.13/8.14 daripada 8.14/8.15 dan naik berbanding baht Thailand pada 13.0791/ 0998 daripada 13.1050/1184 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini