KUALA LUMPUR: Syarikat minyak dijangka mengekalkan pelan perbelanjaan modal dan operasi dengan unjuran harga komoditi itu mencatatkan paras purata melebihi AS$80 setong untuk tiga tahun akan datang, demikian menurut RHB Investment Bank.
Bank pelaburan itu berkata, ia masih positif terhadap syarikat perkhidmatan huluan minyak dan gas memandangkan tahap aktiviti yang tinggi dengan kegiatan penggerudian dibayangkan akan terus kukuh, begitu juga dengan aktiviti penyelenggaraan.
"Kami tetap meramalkan prestasi pemain apungan, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) meningkat kerana permintaan mantap dan perolehan bertahan," katanya dalam satu nota yang ditulis oleh penganalisis, Sean Lim dan Athipu Visavaveja.
RHB Investment Bank berkata, kenaikan harga minyak baru-baru ini rata-ratanya didorong oleh tindakan Arab Saudi dan Russia yang memanjangkan langkah pemotongan keluaran minyak mereka secara sukarela sehingga akhir tahun ini, dan diburukkan lagi oleh inventori minyak yang rendah di serata dunia kepada 13 bulan pada Ogos.
Ia berkata, persoalan sekarang adalah sama ada dua negara ini akan memanjangkan potongan pengeluaran hingga tahun depan.
"Jika Arab Saudi terus memotong pengeluaran semasanya, defisit dijangka berterusan berlaku. Dari segi permintaan, kami jangkakan unjuran pertumbuhan positif untuk satu tahun lagi dalam lingkungan satu hingga 2.4 juta tong sehari.
"Ia bergantung pada andaian membabitkan kekuatan ekonomi dunia, pemulihan ekonomi China, dan sejauh mana penurunan berstruktur berlaku dalam penggunaan bahan api di jalan raya dan dalam pengangkutan di pasaran-pasaran utama," katanya.
Bank pelaburan itu menaikkan andaian harga minyak mentah Brent bagi 2023 dan 2024 kepada masing-masing kepada AS$84 setong dan AS$85 setong berbanding AS$81 setong dan AS$80 setong sebelum ini, selain mengekalkan unjuran 2025 pada AS$80 setong.
"Kami naikkan unjuran suku keempat 2023 kepada AS$92 setong memandangkan pasaran minyak sepatutnya terus kekal dalam defisit.
"Kebanyakan agensi antarabangsa seperti Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS, dan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) sedang menjangkakan pertumbuhan permintaan minyak dunia yang positif berbanding suku sebelum ini pada purata satu juta tong sehari pada suku keempat 2023.
"Kami menaikkan unjuran 2024 sebanyak AS$5 setong bagi mempertimbangkan bekalan lebih tinggi daripada OPEC berdasarkan potongan sukarela yang berterusan sehingga Mac 2024 dan pertumbuhan permintaan minyak yang baik," katanya.