KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengukuh kepada RM4.24 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun, di sokong pembalikan aliran dana ke pasaran lebih berisiko.
MIDF Research dalam nota penyelidikan, berkata firma penyelidik itu menjangkakan mata wang tempatan akan mengakhiri 2023 dengan pada paras sekitar RM4.24 dan berada pada purata RM4.43 bagi tempoh setahun penuh tahun ini.
"Kami menjangkakan mata wang pasaran baharu muncul termasuk ringgit akan meningkat, disokong pengaliran masuk semula dana ke pasaran yang lebih berisiko.
"Kami meramalkan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengekalkan kadar dana tidak berubah pada 5.25 hingga 5.50 peratus dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus untuk sepanjang tahun ini, kami tidak menjangkakan tekanan daripada perbezaan kadar faedah akan menarik lebih banyak dana ke dalam pasaran AS.
"Dalam erti kata lain, kami menjangkakan akan berlaku pengimbangan semula aliran dana ke bahagian lain di dunia, termasuk Malaysia," katanya.
MIDF Research berkata, firma penyelidik itu mengekalkan pandangan yakin terhadap ringgit, disokong jangkaan kadar Fed akan reda pada akhir tahun dan dipacu lagi oleh asas positif dalam keadaan ekonomi domestik Malaysia serta lebihan akaun semasa yang berterusan.
"Kemungkinan wujud rangsangan kepada prospek perdagangan luar dan peningkatan semula dalam pemulihan ekonomi China juga akan menjadi positif bagi ringgit.
"Walaupun kami menjangkakan ringgit meningkat pada akhir tahun ini, terdapat kecenderungan yang semakin lemah kerana Fed masih belum mengisytiharkan tamatnya kitaran pengetatannya, selain wujud kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan China," katanya.
Dolar AS mengukuh semula apabila Fed masih terbuka kepada lebih banyak kenaikan dengan mata wang itu menambah nilai berbanding mata wang utama apabila indeks DXY meningkat pada 23 Ogos sebanyak 1.7 peratus bulan ke bulan mengakhiri bulan pada 103.62.
Dari segi purata bulanan, indeks dolar purata lebih tinggi dengan peratusan yang sama kepada 103.10 pada Ogos, dengan pergerakan antara bulanan menyaksikan kenaikan dolar yang tinggi walaupun inflasi secara amnya berada dalam arah aliran mereda.
Ringgit pula menyusut nilai pada dolar AS yang lebih kukuh pada Ogos, dengan bulan pada -2.8 peratus bulan ke bulan lebih lemah kepada RM4.639 akibat daripada pengukuhan dolar AS.
Namun begitu, firma penyelidik itu berkata, ringgit menyusut nilai pada margin yang jauh lebih kecil iaitu -0.5 peratus bulan ke bulan kepada RM4.589 berdasarkan purata bulanan, lebih baik daripada mata wang serantau.
"Selain daripada kekuatan dolar, prestasi ringgit dan mata wang serantau lain turut diheret oleh pemulihan ekonomi China yang tidak memberangsangkan, dengan sektor pembuatan dan perdagangan terus kekal lembap.
"Selain itu, kebimbangan baharu terhadap krisis hartanah China juga menyebabkan mata wang serantau menjadi lemah.
"Pergerakan harga komoditi gagal mengatasi tekanan menurun daripada perkembangan pasaran kewangan dan kebimbangan umum terhadap prospek pertumbuhan apabila ringgit menyusut walaupun harga minyak mentah Brent mengakhiri bulan lebih tinggi sebanyak 1.5 peratus kepada AS$86.86 setong," katanya.
MIDF Research berkata, sama seperti ringgit, mata wang serantau juga lebih tahun ini berikutan kekuatan dalam dolar AS, dengan rupiah Indonesia sebaliknya menjadi mata wang serantau berprestasi terbaik, dengan peningkatan sebanyak 2.3 peratus setakat tahun ini.
"Kelemahan mata wang serantau dikaitkan dengan kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi yang lebih perlahan daripada jangkaan di China, yang turut mengheret aktiviti perdagangan dan pengeluaran serantau," katanya.