KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan ia sentiasa bersedia mengambil langkah perlu untuk memastikan pergerakan ringgit yang teratur dan perniagaan terus dipermudahkan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, berkata sebagai ekonomi sangat terbuka, kadar pertukaran adalah harga relatif yang sangat penting mempengaruhi banyak aspek ekonomi.
Katanya, dengan momentum pertumbuhan yang semakin meningkat, disinflasi yang stabil, lebihan akaun semasa dan sistem perbankan yang kukuh, pergerakan ringgit semasa kelihatan lebih banyak dipengaruhi oleh peristiwa global dan sudah tentu tidak mencerminkan asas ekonomi negara.
"Saya ingin tegaskan bahawa ekonomi Malaysia hari ini berdaya tahan terutamanya dari segi asas ekonomi kita, keteguhan sektor kewangan kita, dan kedalaman pasaran kewangan kita.
"Izinkan saya menekankan bahawa BNM terus komited untuk melaksanakan langkah-langkah yang perlu bagi memastikan ringgit menyesuaikan diri dengan teratur dan perniagaan terus dipermudahkan. Kami berada dalam pasaran, dan kami akan, apabila diperlukan, terus berada dalam pasaran," katanya.
Beliau berkata demikian pada acara dwitahunan Persidangan Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) bertemakan 'Journey to Zero' di sini, hari ini.
Nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) telah menyusut ke paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia pada RM4.78 sedolar memandangkan terjejas oleh perbezaan kadar yang semakin meluas dengan AS.
Mengenai prestasi ekonomi negara, Abdul Rasheed berkata, ekonomi Malaysia berdaya tahan dan ia dijangka kekal bertumbuh.
Beliau berkata, unjuran awal menunjukkan ekonomi berkembang sebanyak 3.3 peratus pada suku ketiga, berbanding 2.9 peratus suku lalu.
Katanya, walaupun negara sedang mengalami kelemahan dalam permintaan global dan kitaran menurun teknologi, permintaan domestik bertahan dengan baik.
"Penunjuk yang lebih terkini sudah menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Menuju ke depan, kami menjangkakan ekonomi global akan bertambah baik.
"Inisiatif untuk mengukuhkan struktur ekonomi Malaysia, termasuk peralihan ke arah ekonomi yang lebih hijau, pastinya akan memberikan dorongan tambahan kepada aktiviti perniagaan dan peluang pekerjaan," katanya.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku tahun kedua 2023 menyederhana kepada 2.9 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ekonomi 2.9 peratus pada suku tahun kedua 2023 didorong terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembinaan, selain permintaan luaran yang lebih perlahan.
Abdul Rasheed berkata, BNM menyasarkan sekurang-kurangnya separuh daripada pembiayaan baharu oleh bank akan diselaras dengan sokongan iklim atau aktiviti peralihan sebagaimana ditetapkan dalam Pelan Induk Sektor Kewangan (PISK).
Beliau berkata, pada masa sama, bank pusat itu akan terus menyediakan persekitaran dasar yang memudahkan industri memajukan inovasi kewangan dan meninjau struktur kewangan baharu yang diperlukan dalam memenuhi keperluan pembiayaan bagi mitigasi serta aspek penyesuaian terhadap risiko iklim.
Katanya, BNM telah memulakan usaha melakukan semakan menyeluruh terhadap peraturan sedia ada bagi memastikan risiko iklim ini diambil kira dengan sewajarnya dan diintegrasikan secara baik ke dalam rangka kerja kawal selianya.