Ringgit dijangka serendah RM4.74 sedolar AS minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka serendah RM4.74 sedolar AS minggu depan


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan rendah pada paras antara RM4.72 hingga RM4.74 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata pendirian pasaran adalah Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka meneruskan dasar monetari ketatnya dengan kadar faedah kekal tinggi untuk tempoh yang lama.

"Saya yakin dolar AS akan terus mendapat permintaan kerana pelabur memilih aset selamat dan kelebihan hasilnya berbanding ringgit.

"Bagaimanapun, kerana pasaran pada masa ini berada pada kedudukan yang memihak kepada dolar AS, peniaga mungkin menggunakan pendekatan berhati-hati dan memerhatikan bagaimana hasil bon AS akan berkembang pada minggu akan datang dan juga memantau perkembangan dalam krisis Asia Barat," katanya kepada Bernama.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit melemah berbanding dolar AS kepada 4.7260/7305 daripada 4.7115/7155 yang direkodkan dalam minggu sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding pound Britain kepada 5.7615/7670 daripada 5.7494/7543 pada Jumaat, turun berbanding euro kepada 4.9760/9807 daripada 4.9720/9763 sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan melonjak berbanding yen Jepun kepada 3.1582/1615 daripada 3.1612/1641 pada penutupan minggu lalu.

Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 301.3/301.7 daripada 301.7/302.1 pada Jumaat namun merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4522/4559 daripada 3.4458/4493 sebelumnya dan turun berbanding baht Thai kepada 12.9810/9995 daripada 12.7200/7367.

Dalam pada itu, ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.32/8.33.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini