Ringgit lemah beri kesan negatif sektor automotif, pengguna, media - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit lemah beri kesan negatif sektor automotif, pengguna, media


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit yang lemah memberi impak negatif kepada pengimport dalam segmen automotif, pengangkutan, pengguna, media dan penjagaan kesihatan, demikian kata penganalisis.

Penganalisis AmInvestment Bank, Alex Goh berkata, kelemahan ringgit secara amnya merugikan sektor automotif kerana ia meningkatkan kos kandungan yang diimport.

Beliau berkata, jenama kereta bukan nasional mendapat kesan negatif kerana mereka sangat bergantung pada kit kereta pemasangan tempatan (CKD) diimport dan kereta import sepenuhnya (CBU).

Walau bagaimanapun, kereta nasional mempunyai kadar lokaliti tinggi sebanyak 80 peratus hingga 95 peratus, memberikan penampan besar terhadap risiko pertukaran asing.

"Syarikat di bawah liputan kami yang akan rugi daripada kelemahan ringgit berbanding dolar AS ialah UMW, Tan Chong, MBM Resources, Sime Darbydan DRB Hicom.

"Bagi syarikat penerbangan dalam pengangkutan, ketibaan pelancong mungkin terjejas kerana kos bahan api yang lebih tinggi disalurkan kepada penumpang.

"Bagi segmen pengguna, dolar AS yang lebih kukuh akan menjadi negatif bagi kebanyakan pemain ruji kerana kebanyakannya bahan mentah diperoleh dari luar negara dan dalam denominasi dolar AS, yang kami percaya akan menjejaskan syarikat seperti Berjaya Food, Spritzer, Power Root,Nestle dan Guan Chong," katanya dalam nota penyelidikannya.

Goh berkata, sementara kesan ringgit yang lebih lemah terhadap pendapatan teras Apex Healthcare dan IHH Healthcare pula adalah sedikit negatif.

Beliau berkata, bagi syarikat media dengan kos kandungan asing, ia boleh memberi impak negatif yang ringan manakala Astro mungkin lebih terbeban oleh liabiliti pajakan yang lebih tinggi untuk perkhidmatan satelit dalam denominasi dolar.

Katanya, bagi Media Prima, impaknya mungkin dapat dikurangkan sebahagiannya oleh kos kandungan asing yang rendah.

Ringgit terus melemah sebanyak 5.9 peratus sejak 31 Julai tahun ini, hampir mencecah paras terendah sepanjang masa RM4.80.

Walaupun mata wang serantau lain juga telah menyusut nilai, ringgit adalah berprestasi kedua terburuk selepas yen tahun ini, didorong oleh naratif agresif Rizab Persekutuan AS (Fed), yang membayangkan bahawa satu lagi kenaikan kadar faedah mungkin berlaku.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini