Tangani krisis kewangan, perkasa pendekatan 'siap sedia' - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Tangani krisis kewangan, perkasa pendekatan 'siap sedia'


KEGAGALAN Silicon Valley Bank (SVB) di Amerika Syarikat (AS) pada awal tahun ini merupakan satu peristiwa yang menekankan pentingnya penyediaan langkah-langkah efektif dan proaktif untuk mengurangkan ketidakstabilan dan kerugian kewangan.

Insiden yang menimpa SVB menunjukkan kepentingan pendekatan 'siap sedia' dan mempertingkatkan kesediaan dalam menangani krisis kewangan sekiranya ia berlaku.

Ini menguatkan keazaman Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) untuk terus memperkasakan kesediaannya dan meletakkan kepentingan kepada perancangan awal ('pre-emptive planning') untuk mendepani krisis demi mengurangkan impak dan kerugian yang bakal dialami.

PIDM adalah agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk melindungi pendeposit dan pemilik sijil takaful dan polisi insurans sekiranya sesebuah institusi ahli mengalami kegagalan.

Selain itu, PIDM juga merupakan pihak berkuasa resolusi bagi institusi ahlinya dan berperanan dalam melaksanakan resolusi secara teratur, sekali gus meminimumkan kos kepada sistem kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Rafiz Azuan Abdullah, berkata terdapat tiga pengajaran daripada pengalaman di peringkat global dalam mengurus krisis kewangan.

Menerima pakai, menyesuaikan

Keupayaan pengawal selia di AS yang bertindak pantas melaksanakan resolusi merupakan langkah penting bagi mengurangkan krisis keyakinan dalam pasaran ketika berlakunya kegagalan.

Tindak balas krisis yang tangkas memerlukan pelbagai pendekatan resolusi.

"Begitu juga bagi PIDM yang ditubuhkan selepas AFC, dan diberi mandat untuk melaksanakan resolusi dengan pantas dan teratur terhadap institusi ahli yang mengalami kegagalan"

"Ketika situasi normal, kami menerima pakai amalan terbaik di peringkat antarabangsa untuk mewujudkan sistem insurans deposit yang efektif sehingga diiktiraf mencatat tahap kepatuhan yang tinggi ketika Program Penilaian Sektor Kewangan oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada tahun 2013," katanya.

Perancangan awal

Tindak balas krisis yang efektif bergantung kepada kepantasan bertindak.

PIDM merancang untuk melaksanakan perancangan resolusi bagi semua bank ahlinya, seterusnya meningkatkan keupayaan operasi dan pengurusan krisis.

Rafiz Azuan berkata, pendekatan pelan resolusi ataupun 'living will' dapat mempertingkatkan kolaborasi, menyokong kemampuan untuk membuat keputusan ketika krisis dan merupakan sebahagian rangka kerja bersama Perancangan Pemulihan dan Resolusi Bank Negara Malaysia (BNM).

"Perancangan resolusi dilakukan lebih awal supaya dapat membantu memberikan kefahaman mendalam tentang bank ahli PIDM; mengenal pasti dan mengurangkan halangan terhadap bank ahli sewaktu operasi biasa untuk menyokong pelaksanaan resolusi efektif semasa krisis; dan menyediakan pilihan dan kemampuan untuk membuat keputusan yang pantas semasa krisis atau resolusi ke atas bank.

"Perancangan dan persediaan awal oleh PIDM dan pihak industri akan memastikan proses resolusi yang lancar dan membantu mengekalkan nilai bank ahli, serta dapat meminimumkan impak dan kerugian yang boleh menjejaskan sistem kewangan dan ekonomi," katanya.

Kerjasama penyelarasan

Penyelarasan antara agensi-agensi adalah penting untuk pengurusan krisis.

PIDM bekerjasama dengan peserta jaringan keselamatan kewangan termasuklah BNM, Kementerian Kewangan dan pihak berkuasa luar negara melalui penglibatan antara agensi, kolaborasi dan latihan simulasi.

Dalam kes kegagalan SVB, koordinasi antara pihak berkuasa AS menunjukkan komunikasi yang efektif, sekali gus memberikan pengajaran tentang kepentingan mewujudkan persefahaman dan penyelarasan antara agensi yang lebih mendalam untuk menangani pelbagai senario dan krisis.

Bersedia mengharungi ketidakpastian

Rafiz Azuan berkata, dalam era yang pantas berubah dan tidak menentu, penting untuk bertindak balas dengan efektif dan meminimumkan kerugian semasa krisis.

"Di Malaysia, bank-bank mungkin sudah mempunyai pelan pengurusan risiko dan kesinambungan perniagaan ('business continuity') untuk mendepani kebarangkalian kegagalan.

"Langkah seterusnya bagi PIDM sebagai pihak berkuasa resolusi adalah melaksanakan perancangan awal bersama bank-bank ahli untuk menentukan langkah-langkah melalui perancangan resolusi bagi mengurangkan dan potensi kerugian apabila berlaku kegagalan," katanya.

Bencana yang melanda akan memberi kesan kepada semua, dan kehadirannya pasti membawa kehancuran.

Begitu juga dengan krisis kewangan yang boleh menjejaskan sesiapa sahaja, termasuk orang awam, dan bukan sahaja institusi kewangan dan pemegang berkepentingan.

Oleh itu, kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk melindungi golongan yang terkesan dan paling berisiko daripada impak ketidakstabilan kewangan.

Layari PIDM untuk maklumat lanjut tentang peranan dan mandat PIDM sebagai pihak berkuasa resolusi.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini