Tiga faktor pengaruhi pergerakan ringgit - Bank Dunia - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Tiga faktor pengaruhi pergerakan ringgit - Bank Dunia


KUALA LUMPUR: Bank Dunia melihat prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dipengaruhi oleh tiga faktor utama, demikian mengikut Bank Dunia.

Ketua Ahli Ekonomi Malaysia bagi badan kewangan global berkenaan iaitu Dr Apurva Sanghi, berkata tiga faktor utama itu ialah pergerakan harga minyak, perbezaan kadar faedah dan perubahan dalam kedudukan pelaburan antarabangsa (IIP).

Beliau berkata, nilai ringgit berbanding dolar AS menyusut 15 peratus dalam tempoh Januari 2021 hingga Jun 2023, dengan langkah pengetatan dasar monetari AS menjadi penyumbang utama kepada penyusutan nilai mata wang tempatan itu.

Katanya, perbezaan ketara antara kadar faedah antara AS dan Malaysia menyebabkan ringgit menyusut meskipun harga minyak agak tinggi pada separuh pertama tahun ini.

"Harga minyak yang tinggi membantu melonjakkan ringgit sebanyak 4.7 peratus, namun perbezaan ketara kadar faedah AS dan Malaysia memberi tekanan yang menyebabkan pengaliran keluar modal.

"Perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia menyumbang kepada penyusutan ringgit sebanyak 24 peratus. Justeru, faktor perbezaan kadar faedah (AS dan Malaysia) jauh mengatasi faktor positif yang menyokong ringgit meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena perkembangan terkini ekonomi Asia Timur dan Pasifik Oktober 2023 dan Bahagian Pertama Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) September 2023 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda.

Bagi episod penyusutan ringgit sebelum ini iaitu dalam tempoh Julai 2014 hingga Januari 2016, Apurva berkata, nilai ringgit menyusut sebanyak 37 peratus berikutan turun naik tidak menentu dalam IIP dan kejatuhan harga minyak.

Beliau berkata, kejutan dalam pergerakan harga minyak dan aliran keluar modal dengan jumlah besar dan mengejut menjadikan mata wang Malaysia sangat sensitif secara unik berbanding mata wang lain di rantau ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini