KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu memandangkan pelabur menantikan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS berkenaan kadar faedah negara itu pada lewat malam ini.
Pada jam 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.7695/7735 berbanding dolar AS daripada 4.7615/7655 sewaktu ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Dolar AS (DXY) terus meraih kenaikan hari ini memandangkan peserta pasaran menunggu keputusan Fed pada malam ini.
"Walaupun kami percaya Fed mungkin mengekalkan kadar faedah stabil, kenyataan (yang berpotensi) dengan kecenderungan menaikkan kadar faedah akan memberikan sokongan kepada dolar AS," katanya.
Beliau berkata, langkah Bank of Japan menaikkan had kawalan keluk hasilnya kepada satu peratus menunjukkan bank pusat Jepun itu akan kekal dengan kecenderungan menurunkan kadar faedah untuk meredakan kesan pengurangan dasar monetari yang berlebihan.
"Sehubungan itu, ringgit mungkin terus lemah dalam masa terdekat ini," katanya.
Ketika ditutup, mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1540/1569 daripada 3.1588/1616 sewaktu ditutup pada Selasa, mengukuh berbanding euro kepada 5.0313/0356 daripada 5.0729/0772 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.7897/7946 daripada 5.8014/8063.
Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakan tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4786/4820 daripada 4867/4902 semasa ditutup pada Selasa, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 299.2/299.6 daripada 299.7/300.1 dan menokok berbanding baht Thailand kepada 13.1645/1803 daripada 13.2371/2544 sebelum ini.
Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.39/8.40.