Ringgit melonjak tinggi hampir 1.5 peratus berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit melonjak tinggi hampir 1.5 peratus berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit melonjak tinggi setakat tengahari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan kenaikan hampir 1.5 peratus kepada sekitar 4.657 susulan jangkaan aliran kenaikan kadar faedah AS sudah berakhir untuk tahun ini.

Ringgit juga turut meningkat berbanding mata wang utama lain termasuk naik 1.46 peratus berbanding pound British; euro (+1.34 peratus); dolar Singapura (+1.09 peratus); bath Thailand (+0.91); rupiah Indonesia (+0.4 peratus); yen Jepun (+1.52 peratus) dan won Korea (+0.55 peratus).

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid yang dipetik Bernama berkata kadar faedah AS menghampiri puncak kitaran, sebahagiannya didorong oleh laporan gaji bukan ladang (NFP) yang lebih lemah daripada jangkaan.

"NFP yang adalah pengukur bagi jumlah penghasilan pekerjaan di AS, meningkat pada kadar lebih perlahan kepada 150,000 pada Oktober dan ini mencadangkan kitaran kenaikan kadar faedah semakin hampir ke penghujungnya," katanya.

Selain itu, beliau turut menjangka mata wang tempatan akan meningkat minggu ini selepas berada dalam kedudukan terlebih jual untuk beberapa ketika dan berkemungkinan bergerak positif hari ini, ke arah paras RM4.70 berbanding dolar AS.

Sementara itu MIDF Research mengunjur, ringgit akan mengukuh kepada paras RM4.30 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini.

Dalam nota tinjauannya, cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu berkata, ini juga seiring dengan jangkaannya bahawa mata wang negara-negara sedang pesat membangun akan mengukuh apabila kadar faedah AS menghampiri paras kemuncaknya yang akan disusuli dengan kemasukan semula aliran dana ke pasaran berisiko.

"Seiring dengan kadar dasar semalaman (OPR) yang dikekalkan pada 3.00 peratus dalam tempoh memasuki 2024, kami menjangkakan ringgit akan turut mendapat manfaat berikutan tiada kenaikan perbezaan Kadar Dana Persekutuan (FFR) dan OPR.

"Asas-asas ekonomi pula secara amnya kekal menyokong ringgit dalam senario ekonomi domestik yang berdaya tahan dan inflasi yang terkawal," katanya.

Faktor lain adalah petunjuk yang mencerminkan pemulihan berterusan di China serta peningkatan eksport elektrikal dan elektronik (E&E), juga menandakan prestasi perdagangan luar yang lebih positif dalam bulan-bulan akan datang.

Selain itu, kenaikan harga komoditi global akan turut memberi manfaat kepada ringgit berikutan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih komoditi.

"Walaupun kami optimis terhadap pengukuhan ringgit menjelang akhir tahun ini, masih terdapat kecenderungan penurunan yang mengekang kenaikan lanjut unit tempatan itu.

"Sebagai contoh, ketiadaan penangguhan kenaikan kadar faedah yang jelas oleh pihak Fed, kenaikan seterusnya hasil Perbendaharaan AS dan krisis geopolitik di Timur Tengah yang terus meruncing akan hanya meningkatkan lagi sokongan terhadap dolar AS," katanya.

Mengulas prestasi ringgit, MIDF Research mengunjurkan mata wang itu mencecah paras terendahnya pada Oktober 2023 apabila mengakhiri bulan berkenaan dengan susut 1.4 peratus bulan ke bulan pada paras RM4.764 berikutan pengukuhan dolar AS.

Dari segi purata bulanan, nilai ringgit susut kepada RM4.747.

Unit tempatan itu mencecah paras penutupan harian terendah RM4.794 pada 23 Oktober lepas apabila dolar AS meningkat berikutan peningkatan hasil perbendaharaan susulan konflik di Timur Tengah.

"Kami kekal optimis ringgit akan meningkat menjelang akhir tahun ini berikutan kemasukan semula lebih banyak aliran dana ke pasaran negara-negara sedang pesat membangun tanpa peningkatan perbezaan FFR-OPR," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini