Aliran masuk modal asing, nilai ringgit bertambah kukuh tahun hadapan - MIDF Research - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Aliran masuk modal asing, nilai ringgit bertambah kukuh tahun hadapan - MIDF Research


KUALA LUMPUR: Aliran masuk portfolio asing ke dalam pasaran ekuiti Malaysia dijangka bertambah kukuh tahun hadapan sejajar pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Mata wang tempatan yang diunjurkan meningkat semuka ke paras 4.20 menjelang akhir 2024, kata penganalisis MIDF Research.

Pengarah dan Ketua Strategi MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, berkata secara lazimnya pengukuhan ringgit akan menarik aliran masuk dana asing.

Beliau berkata, pihaknya sudah menyaksikan kembalinya aliran dana asing memasuki pasaran ekuiti Malaysia pada November dan aliran juga dilihat berterusan pada bulan ini.

"Kami melihat aliran masuk dana asing beberapa minggu lalu. Ini memberi petunjuk kemungkinan tahun depan akan menyaksikan lebih banyak aliran masuk dana ke dalam pasaran tempatan," katanya pada taklimat tinjauan pasaran 2024.

Mengenai prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2024, Imran berkata, MIDF Research percaya bahawa pelaksanaan beberapa dasar kerajaan dan pemulihan dalam perdagangan luar akan menjadi faktor utama yang dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi tahun depan.

Beliau berkata, MIDF Research menjangkakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.7 peratus pada 2024 berbanding unjuran pertumbuhan 2023 sekitar 4.2 peratus, dipacu permintaan domestik yang kukuh dan pemulihan perdagangan luaran.

Beliau berkata, kestabilan dasar monetari di negara utama, pemulihan ekonomi China dan harga komoditi global yang menyokong dijangka merangsang persekitaran luaran Malaysia pada 2024.

Katanya, pihaknya menjangkakan harga minyak mentah dan minyak sawit mentah (MSM) berada pada paras purata masing-masing sekitar AS$84 setong dan RM3,600 satu tan bagi 2024.

"Ekonomi domestik dijangka disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berterusan, aktiviti berkaitan pelancongan yang lebih baik dan pembinaan projek infrastruktur.

"Pasaran pekerjaan Malaysia juga kekal dalam keadaan baik dan positif termasuk pertumbuhan dalam guna tenaga dan kadar pengangguran yang lebih rendah," katanya.

Mengenai inflasi, Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui'zz Morhalim, berkata MIDF Research menjangkakan kadar inflasi sekitar 3.2 peratus tahun depan di tengah-tengah pelaksanaan subsidi bahan api bersasar.

Beliau berkata, walaupun kadar inflasi diunjurkan tinggi berikutan usaha rasionalisasi subsidi, pertumbuhan gaji benar dijangka kekal dalam wilayah yang positif.

Katanya, pihaknya menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada 3.00 peratus, yang mana paras itu disifatkan menyokong dan akomodatif berdasarkan jangkaan kestabilan kadar inflasi teras dan persekitaran luaran yang mencabar.

"Bagi ringgit, memandangkan kemungkinan besar Rizab Persekutuan AS (Fed) menamatkan kitaran pengetatan kadar faedahnya, kami percaya ringgit, pada asasnya, berada dalam kedudukan yang baik untuk mengukuh pada 2024," katanya.

Mengenai tinjauan prestasi FBM KLCI pada 2024, Ketua Strategi MIDF Research, Syed Muhammed Kifni Syed Kamaruddin, berkata MIDF Research menjangkakan indeks penanda aras Bursa Malaysia bagi akhir 2024 sekitar 1,665 mata.

Beliau berkata, jangkaan berakhirnya kenaikan kadar faedah AS juga akan mengalihkan aliran dana asing kembali ke pasaran baharu muncul dan Malaysia tidak terkecuali.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini