Ringgit semakin mengukuh berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit semakin mengukuh berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal Khamis, didorong oleh sentimen positif dan jangkaan pengurangan kadar faedah di peringkat global pada tahun depan, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat ke paras 4.6530/6575 berbanding dolar AS daripada 4.6555/6605 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata aset bebas risiko seperti hasil kertas Perbendaharaan AS menyaksikan aliran penurunan yang membayangkan bahawa naratif penurunan kadar faedah pada 2024 juga ketara dalam pasaran pendapatan tetap.

"Ini sewajarnya akan memberi sokongan terhadap ringgit yang dijangka bergerak dalam julat RM4.65 dalam masa terdekat.

"Pergerakan ringgit telah melepasi paras RM4.6611 dengan paras sokongan seterusnya pada RM4.5778," katanya kepada BERNAMA.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.8828/8885 daripada 5.9027/9090 pada akhir urus niaga Rabu, meningkat berbanding euro kepada 5.0941/0990 daripada 5.1043/1098 dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.2452/2488 daripada 3.2465/2502, sebelum ini.

Selain itu, ringgit turut mencatat prestasi sama apabila diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4959/4998 daripada 3.5027/5968 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.2905/3098 daripada 13.3392/3596, sebelum ini.

Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 299.9/300.3 daripada 300.1/300.5 semalam dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.35/8.36.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini