Pembaharuan ekonomi yang jelas akan sokong ringgit - Ahli Ekonomi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pembaharuan ekonomi yang jelas akan sokong ringgit - Ahli Ekonomi


KUALA LUMPUR: Rancangan pembaharuan ekonomi dengan fokus yang jelas dan boleh difahami, dilaksanakan secara berterusan dijangka dapat meningkatkan keyakinan pelabur, meningkatkan daya saing negara dan  mewujudkan impak positif kepada ringgit, kata penganalisis.

Kelemahan ringgit pada masa ini adalah secara semula jadi dan ia dipengaruhi faktor luaran, terutama sentimen terhadap kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

Kelemahan yang dicatatkan mata wang tempatan itu juga tidak sama seperti ia merosot mendadak ketika Krisis Kewangan Asia 1997/1998.

Ketika krisis itu, ringgit melemah secara mendadak berbanding dolar AS dalam tempoh singkat susulan serangan spekulator mata wang, dengan mencecah paras terendah sehingga RM4.8850 bagi satu dolar AS pada  Januari 1998.

Namun, menurut penganalisis, pada masa sekarang, pengukuhan dolar AS berikutan peningkatan agresif kadar faedah di AS mendorong mata wang dunia lain termasuk ringgit menyusut. Ia berikutan perbezaan ketara pulangan kadar faedah AS.

Di samping itu, kelemahan yuan juga mempengaruhi prestasi ringgit pada masa ini memandangkan China adalah antara negara pengeksport utama bagi Malaysia. 

Walaupun ringgit lemah berbanding dolar AS, kualiti aset sistem perbankan kekal utuh dan bank mengekalkan kedudukan mudah tunai dan pendanaan yang kukuh untuk menyokong pengantaraan, berbeza ketika 1997/1998 yang mana ketika itu sebilangan bank tempatan berdepan masalah sehingga perlu digabungkan.

Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata situasi yang dihadapi kini amat berbeza, memandangkan pada 1997 adalah krisis kewangan dan mata wang negara diserang oleh 'penyangak' mata wang, sebaliknya keadaan itu tidak berlaku pada masa ini.

Jelasnya, kelemahan yang dicatatkan mata wang tempatan pada masa ini adalah secara semula jadi dipengaruhi faktor semasa dan ia berlaku secara beransur-ansur. 

Katanya, kelemahan ringgit pada masa ini juga berikutan perbezaan kadar faedah AS yang ketara dan prestasi mata wang China memandangkan ekonomi kedua terbesar dunia itu adalah antara eksport terbesar negara, justeru bila yuan menurun, ringgit juga terkesan.

"Kita tidak menjangkakan mata wang menjadi seperti 1997-98 kerana masa itu kita diserang oleh penyangak mata wang. Masa ini kita tidak diserang, cuma kita perlu tingkatkan keyakinan pelabur. Itu matlamat penting yang sedang dilakukan," katanya kepada BH.

Barjoyai berkata, apa yang boleh dilakukan kerajaan ialah menumpukan kepada bagaimana membangun ekonomi dalam negara untuk memacu ekonomi. 

Beliau berkata, kalau ekonomi negara semakin segar, pelabur asing akan masuk.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Apurva Sanghi, berkata prestasi lemah ringgit boleh dikaitkan dengan kemerosotan daya saing jangka panjang negara berikutan kekurangan pembaharuan yang dilaksanakan selepas Krisis Kewangan Asia 1998.

Beliau berkata, pelaburan dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dalam aliran menurun sejak krisis itu.

Katanya, peratusan eksport kepada KDNK menguncup daripada 120 peratus pada 1999 kepada 68 peratus pada 2023.

"Ringgit terkesan sebahagian besarnya oleh kemerosotan jangka panjang daya saing Malaysia.

"Jika anda bertindak terhadap kemerosotan ini, yang mana pembuat dasar mahu lakukan, ringgit akan bertindak sendiri," katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata trend kadar pinjaman asas (BLR) meningkat dalam kadar yang agak drastik iaitu daripada 8.21 peratus pada Januari 1996 sehingga 12.27 peratus pada Jun 1998 sebelum ia diturunkan kepada 8.04 peratus pada Disember 1998. 

Namun, beliau berkata, situasi seperti itu tidak berlaku sekarang, yang mana kadar dasar semalaman (OPR) hanya dinaikkan dalam jajaran yang perlahan iaitu daripada 1.75 peratus pada 2022 sehingga 3.00 peratus pada 2023. 

Malah, katanya, diperlihatkan modal bank (nisbah jumlah modal) di dalam sistem perbankan berada di paras yang selesa iaitu 18.2 peratus pada Disember lalu. 

Jelasnya, nisbah liputan kecairan (LCR) juga telah meningkat ke paras 161 peratus setakat Disember 2023 dan melebihi paras minimum serta kualiti aset di dalam sistem perbankan juga berada pada paras yang baik dengan nisbah terjejas kasar menurun ke paras 1.65 peratus pada Disember 2023 berbanding 1.73 peratus pada Januari 2023. 

"Justeru, meskipun ringgit berada di paras yang lemah, sistem perbankan masih lagi beroperasi seperti biasa dengan menerima deposit dan memberi pembiayaan kepada pengguna dan peniaga serta perusahaan. 

"Situasi sekarang dan 1998 amat berbeza kerana sistem perbankan sekarang berada di tahap yang baik dari segi tadbir urus dan pengurusan risiko yang ketat dan dipantau oleh Bank Negara Malaysia (BNM). 

"Selain itu, pasaran bon juga terus berkembang dan menjadi sumber pendanaan bagi kerajaan dan korporat untuk membiayai aset berjangka panjang," katanya.

Mohd Afzanizam berkata,  apa yang boleh dilakukan kini adalah kerajaan menumpukan kepada usaha menstruktur semula ekonomi secara konsisten bagi merangsang keyakinan pelabur asing untuk terus melabur di negara ini.

Namun, beliau berkata, pelaksanaan pembaharuan ekonomi seperti subsidi, liberalisasi industri, penambahbaikan sistem cukai dan pencen antara lain perlu dimaklumkan dengan jelas dan dilaksanakan secara beransur-ansur. 

"Ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kejutan yang tidak perlu kepada orang ramai. Justeru, ia mengambil masa yang panjang jika kita mahu menangani kelemahan nilai ringgit. 

"Jika tidak, kita akan terus memadam kebakaran dan hanya akan memburukkan keadaan apabila dasar dilaksanakan tidak pada kelajuan yang betul dan tidak diselaraskan," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata ringgit kini melemah berbanding dolar AS berikutan apa yang berlaku di AS dan dolar yang mengukuh. 

Beliau berkata, pelabur faham isu itu dan ia tidak mengubah persepsi mereka terhadap asas ekonomi negara ini, cuma mereka akan membuat keputusan pelaburan berdasarkan situasi ringgit semasa. 

"Jika mereka datang melabur sekarang, ia lebih murah untuk mereka disebabkan ringgit yang melemah tetapi mereka juga harus dapat keyakinan bahawa ringgit akan kembali mengukuh supaya apabila mereka mendapat pulangan atas pelaburan, mereka tidak akan terkesan disebabkan kelemahan nilai ringgit," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini