KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Amerika Syarikat (AS) pada Januari 2024 yang meningkat lebih tinggi daripada jangkaan terus mengukuhkan lagi mata wang negara maju itu, sekali gus memberi tekanan kepada ringgit untuk berlegar menghampiri paras psikologi RM4.80 berbanding dolar AS.
Pada awal dagangan hari ini, ringgit rendah berbanding dolar AS ke paras 4.7820/7880 berbanding penutup hari sebelumnya 4.7600/7665.
Indeks harga pengguna (IHP) AS pada Januari 2024 meningkat 3.1 peratus daripada tahun sebelumnya, berbanding unjuran pasaran dengan kenaikan sebanyak 2.9 peratus.
Dolar AS meningkat ke paras tinggi dalam tiga bulan berikutan data IHP Januari 2024 yang tinggi, sekali gus mendorong peniaga menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) untuk menangguhkan kitaran pengurangan kadar faedah di negara itu.
Ahli Ekonomi MIDF Research, Muhammad Zafri Zulkeffeli, berkata data makro AS masih menunjukkan prestasi yang baik, umpamanya, kadar inflasi teras dicatatkan pada 3.9 peratus untuk Januari 2024 adalah sedikit tinggi berbanding dengan jangkaan pasaran 3.7 peratus.
Beliau berkata, bank pusat AS meletakkan sasaran kadar inflasi teras yang stabil adalah pada 2.0 peratus.
Katanya, bagi pasaran pekerjaan pula, pertambahan sebanyak 353,000 jawatan dalam sektor bukan pertanian untuk Januari 2024, adalah hampir dua kali ganda daripada jangkaan pasaran iaitu 180,000 jawatan, ditambah dengan kadar pengangguran kekal rendah iaitu 3.7 peratus, yang menunjukkan pasaran pekerjaan kukuh dan stabil di AS.
"Oleh itu, selagi mana data-data makro AS menunjukkan keutuhan, ia akan menunda lagi peluang untuk Fed melakukan pengurangan kadar pinjaman pertama pasca pandemik," katanya kepada BH.
Muhammad Zafri menjelaskan, pergerakan ringgit antaranya dipengaruhi oleh perkembangan dasar monetari AS.
Justeru, beliau berkata, pihaknya menjangkakan purata ringgit akan bertambah baik daripada RM4.55 sedolar pada 2023 kepada RM4.38 pada tahun ini.
"Selain dasar monetari AS, ringgit juga terkait dengan isu-isu struktur seperti saiz lebihan akaun semasa yang lebih kecil dan peningkatan nisbah deposit mata wang asing berbanding jumlah deposit," katanya.
Sementara itu, Kenanga Research dalam nota penyelidikannya berkata, kemungkinan penurunan kadar faedah AS pada Mac telah menurun dengan ketara kepada di bawah 20 peratus.
Ia berkata, pasaran kini hanya menjangkakan enam pengurangan kadar faedah AS pada tahun ini, bermula pada Mei depan.
"Kami percaya bahawa pengukuhan berterusan dalam data makro AS pada bulan-bulan akan datang mungkin mengalihkan masa perubahan Fed yang telah lama ditunggu-tunggu kepada Jun.
"Naratif itu mungkin terus menyokong dolar AS, memacunya untuk mengukuh dan memberikan tekanan ke atas aset berisiko," katanya.
Pada 2023, prestasi ringgit terkesan oleh faktor luaran dengan memperlihatkan mata wang tempatan itu mencecah paras terendah baharu sejak Krisis Kewangan Asia dengan ditutup pada paras RM4.794 sedolar pada 23 Oktober 2023.
Kejatuhan nilai ringgit pada tahun lalu itu berikutan kenaikan kadar faedah AS sebanyak 100 mata asas sementara pemulihan ekonomi China yang lebih lemah daripada jangkaan turut menjejaskan prestasi mata wang tempatan.