KUALA LUMPUR: Kelemahan ringgit berbanding mata wang negara lain ketika ini bukan satu-satunya faktor untuk rakyat Malaysia berhijrah ke luar negara untuk mencari pekerjaan.
Pengarah Urusan, Jobstreet by SEEK Malaysia, Vic Sithasanan, berkata banyak faktor lain yang perlu diambil kira sebelum seseorang memutuskan untuk bekerja di luar negara.
"Malah untuk bekerja di Singapura pun, seseorang perlu mengambil kira banyak faktor seperti perlu berpindah bersama keluarga, mencari tempat tinggal baharu selain kos sara hidup yang tinggi di sana.
"Tidak bermaksud jika mata wang itu melemah, seseorang itu akan terus putuskan untuk berpindah mencari kerja di luar negara kerana ia tidak semudah itu.
"Kami tidak mempunyai sebarang data yang menyokong perkara ini di platform kami. Apa yang kami lihat bilangan calon bertambah dan melihat beberapa peningkatan jumlah pemohon di platform kami," katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai masa depan landskap pekerjaan Malaysia dan transformasi Jobstreet Malaysia dengan SEEK, di sini, hari ini.
Vic menambah, apabila sesebuah negara mempunyai mata wang yang semakin lemah, ia akan mempunyai lebih banyak pelaburan asing yang bermakna lebih banyak peluang pekerjaan dalam pasaran.
"Jadi, sudah pasti ini adalah perkara yang baik untuk pencari kerja," katanya.
Mengulas mengenai tinjauan untuk tahun 2024, Sithasanan berkata, pihaknya meramalkan peningkatan dalam bilangan pekerjaan di pasaran.
"Kami melihat terdapat jumlah peningkatan yang besar pada 2023 dan kami terus melihat momentum itu dibawa ke 2024.
"Terdapat banyak peluang dalam pasaran untuk pencari kerja. Kami melihat calon aktif memohon lebih banyak pekerjaan serta di platform kami. Nasihat saya kepada pencari kerja yang mempunyai banyak kriteria, jangan terlalu memilih kerja.
"Mula bina kerjaya dan diri anda untuk mencapai kedudukan yang diimpikan melalui peningkatan kemahiran diri, pelajari kemahiran baharu, menyesuaikan teknologi dan sebagainya," katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Asia SEEK, Peter Bithos, berkata syarikat itu telah melabur A$180 juta (RM560 juta) untuk menyatukan platform pasaran pekerjaan di rantau Asia Pasifik iaitu SEEK, Jobstreet dan Jobsdb.
Melangkah ke hadapan, katanya, ia akan beroperasi di bawah satu platform.
"Satu platform yang disatukan bermakna kami kini boleh menawarkan produk kepada berjuta-juta orang di seluruh Asia dengan cara yang baharu, supaya pelanggan dapat mencari pekerjaan dan bakat dengan lebih mudah.
"Ini meletakkan kami pada kedudukan yang lebih kukuh, lebih hebat daripada sebelumnya, untuk merealisasikan cita-cita kami membantu 500 juta orang membangunkan kerjaya mereka dengan lima juta syarikat di rantau ini," katanya.