Mata wang utama, ringgit tunggu isyarat kadar faedah AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Mata wang utama, ringgit tunggu isyarat kadar faedah AS


KUALA LUMPUR: Mata wang utama di seluruh dunia termasuk ringgit masih bergelut untuk mendapatkan hala tuju yang jelas pada ketika perhatian pelabur sekarang tertumpu kepada isyarat daripada Rizab Persekutuan (Fed) berhubung penurunan kadar faedah di negara maju itu.

Hal ini memandangkan sentimen pasaran berhubung hasrat pemotongan kadar faedah oleh bank pusat Amerika Syarikat (AS) itu telah berubah dari segi garis masa.

Penganalisis Mata Wang ACY Securities, Luca Santos, berkata walaupun terdapat lonjakan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal minggu lalu disebabkan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang tinggi untuk Februari, namun perkembangan itu tidak bertahan lama.

Beliau berkata, indeks dolar mengakhiri peningkatan awalnya dan kembali ke tahap sebelum laporan IHP itu dikeluarkan

Katanya, dolar AS juga gagal memanfaatkan kejutan inflasi itu walaupun IHP mencetuskan peningkatan dalam hasil AS apabila kedua-dua hasil bon Perbendaharaan dua tahun dan 10 tahun meningkat sebanyak 10 mata asas.

"Walaupun Jun kekal sebagai bulan yang dijangkakan untuk kadar faedah diturunkan, kini muncul keraguan disebabkan penetapan harga pasaran sekitar 75 mata asas dalam pemotongan sejajar dengan rancangan Fed yang digariskan pada Disember.

"Tumpuan ketika ini adalah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang, di mana Fed dijangka mengekalkan trajektori semasa sambil berhati-hati dengan mengambil kira arah aliran inflasi terkini," katanya.

Santos berkata, pasaran pertukaran asing kekal terperangkap dalam ketidakpastian, dicirikan oleh keadaan turun naik yang semakin berkurangan.

Beliau berkata, yen Jepun muncul sebagai mata wang negaraG10 yang mencatatkan naik turun paling ketara, didorong oleh spekulasi mengenai pelarasan dasar Bank of Japan pada mesyuaratnya yang akan datang.

Katanya, laporan syarikat utama Jepun yang komited terhadap kenaikan gaji yang besar telah menguatkan jangkaan terhadap peralihan daripada dasar kadar faedah negatif.

Honda Motor dan AEON, antara lain, telah menjanjikan kenaikan gaji yang ketara, menandakan prospek positif untuk pertumbuhan gaji pada tahun fiskal akan datang.

"Namun, yen gagal untuk memanfaatkan berita gaji yang positif, dengan AS$/yen cuba untuk mendapatkan semula tahap di atas paras 148.00.

"Apabila jangkaan membina untuk keputusan dasar BoJ minggu depan, peserta pasaran tidak sabar-sabar menunggu kejelasan lanjut mengenai trajektori yen," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini