Nilai bitcoin cecah rekod tertinggi dalam sejarah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai bitcoin cecah rekod tertinggi dalam sejarah


WASHINGTON/LONDON: Bitcoin mencecah paras rekod tertinggi melebihi AS$72,000 (RM337,046), dengan lonjakan mata wang kripto terbesar itu tidak menunjukkan tanda-tanda untuk perlahan.

Bitcoin ditutup meningkat 4.4 peratus kepada AS$72,649 (RM340,084) selepas mencecah paras tinggi AS$72,739 (RM340,505).

Mata wang kripto paling berharga di dunia itu dirangsang oleh kemasukan tunai ke dalam dana dagangan pertukaran bitcoin spot baharu dan harapan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan mengurangkan kadar faedah tidak lama lagi.

"Lonjakan nilai bitcoin baru-baru ini, menekankan kekuatan dan daya tahan yang luar biasa bagi mata wang kripto terkemuka itu. Pencapaian ini bukan sahaja menandakan peristiwa penting tetapi juga mencerminkan keyakinan dan permintaan yang berterusan dalam pasaran," kata penganalisis Bitfinex dalam nota penyelidikan.

Aliran modal ke dalam 10 dana dagangan bursa bitcoin spot Amerika Syarikat (AS) yang terbesar memperlahan ke paras terendah dua minggu bagi minggu sehingga 8 Mac, tetapi masih mencecah hampir AS$2 bilion (RM9.36 bilion), demikian menurut data LSEG.

"Bitcoin telah memulakan minggu ini dengan lonjakan, membawa seluruh ruang mata wang kripto lebih tinggi bersamanya," kata Pakar Strategi DailyFX, Nick Cawley.

Bekalan bitcoin, yang dihadkan kepada 21 juta token, ditetapkan untuk menjadi lebih ketat pada bulan April, apabila peristiwa yang dipanggil 'halving' berlaku.

Setiap empat tahun, kadar bekalan baharu yang dikeluarkan ke dalam edaran serta ganjaran untuk pelabur kripto dikurangkan sebanyak separuh, sekali gus cenderung menyokong harga.

Memandangkan bitcoin berusia kurang daripada dua dekad sebagai aset kewangan, unjuran mengenai trajektori harga mata wang kripto itu sangat mencabar.

Badan pemantau kewangan Britain menjadi pengawal selia terkini membuka jalan kepada produk dagangan aset digital selepas ia akan membenarkan bursa pelaburan yang diiktiraf untuk melancarkan nota dagangan bursa disokong kripto.

Penguasa Kelakuan Kewangan (FCA) dalam satu kenyataan berkata, pengawal selia United Kingdom (UK) dilaporkan berkata, produk berkenaan hanya tersedia untuk pelabur profesional seperti firma pelaburan dan institusi kredit yang diberi kuasa untuk beroperasi dalam pasaran kewangan.

FCA bagaimanapun memberi amaran bahawa nota dagangan pertukaran kripto (ETN), iait bon yang dikeluarkan oleh institusi kewangan yang menjejaki prestasi aset asas, boleh membahayakan pelabur runcit.

Namun, permintaan tetap semakin meningkat di seluruh komuniti pelaburan.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini