KUALA LUMPUR: Permintaan yang kekal kukuh terhadap emas dijangka akan menolakkan harga logam berharga itu ke paras lebih tinggi, Penganalisis Mata Wang ACY Securities, Luca Santos.
Permintaan berkenaan termasuk emas fizikal yang teguh di Asia, pembelian bank pusat dan statusnya sebagai aset selamat.
Emas masih berlegar lebih AS$2,100 seaun pada tengahari tadi atau RM323.73 segram. Harga komoditi itu selepas mencapai paras tinggi dalam sejarah AS$2,141.59 seaun (RM325.037 segram) pada Selasa didorong oleh jangkaan pelonggaran monetari Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan, kata penganalisis.
Beliau berkata, data ekonomi yang akan datang dan testimoni daripada Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed), Jerome Powell mempunyai pertimbangan yang penting.
"Emas terus meningkat dalam dua sesi dagangan terakhir, mencatatkan peningkatan hampir 3.5 peratus bersamaan dengan AS$70.
"Harga menghampiri paras tertinggi sepanjang masa yang dicatatkan Disember, dan ketidaktentuan pasaran yang meningkat menyebabkan sesetengah pihak menjangkakan pengujian semula pencapaian penting itu," katanya dalam nota penyelidikannya.
Walaupun ketiadaan penurunan yang sepadan dalam hasil AS atau dolar untuk mewajarkan peningkatan sedemikian, Santos berkata, pembelian emas yang ketara oleh bank pusat di seluruh dunia mungkin mempengaruhi harga kertas emas.
Selain itu, beliau berkata, keyakinan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan penurunan kadar Fed pada Jun boleh menyumbang kepada rali itu.
Katanya, kadar faedah yang lebih rendah menjadikan logam tanpa kadar faedah lebih menarik, lazimnya menyebabkan harga emas lebih tinggi.
"Daya tarikan emas sebagai aset selamat kekal relevan, terutamanya di tengah-tengah konflik yang berterusan di Eropah timur dan Asia Barat.
"Walau bagaimanapun, sentimen risiko positif dalam pasaran ekuiti, yang ditandakan oleh paras tertinggi sepanjang masa dalam indeks utama, mengurangkan kesan daya tarikan selamat emas terhadap sokongan harga," katanya.
Santos berkata, peristiwa dan data kritikal minggu ini termasuk senarai gaji bukan ladang dan mesyuarat penetapan kadar Bank Pusat Eropah (ECB).