Ringgit dijangka kekal RM4.72 hingga RM4.73 sedolar AS minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka kekal RM4.72 hingga RM4.73 sedolar AS minggu depan

 


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengekalkan julat semasanya antara RM4.72 hingga RM4.73 berbanding dolar AS minggu depan, kata seorang pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, bagaimanapun berkata berkemungkinan terdapat halangan minggu depan iaitu laporan pekerjaan AS dan sentimen perniagaan.

Beliau berkata, beberapa laporan akan dikeluarkan seperti Tinjauan Peluang Pekerjaan dan Perolehan Tenaga Kerja (JOLTS) dan Senarai Gaji Bukan Ladang (NFP), yang dijangka menyederhana kepada 198,000 pada Mac daripada 275,000 pada Februari.

Secara ringkasnya, pelabur akan meneliti data-data berkenaan untuk menilai unjuran berkaitan Kadar Dana Rizab Persekutuan AS, khususnya masa untuk penurunan kadar.

"Keadaan sedemikian akan menyokong dolar AS dengan baik berikutan kalangan pegawai Fed nampaknya bertegas untuk mengekalkan kadar yang lebih tinggi untuk meredakan inflasi," katanya kepada Bernama.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh kepada 4.7215/7280 berbanding dolar AS 4.7340/7390 seminggu sebelumnya.

Mata wang tempatan itu diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1194/1241 daripada 3.1223/1258 seminggu sebelumnya, menokok berbanding pound Britain kepada 5.9548/9630 daripada 5.9582/9645 dan melonjak berbanding euro kepada 5.0907/0977 daripada 5.1203/1257 sebelum itu.

Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia melonjak kepada 12.9712/12.9983 daripada baht Thailand 13.0116/0318 Jumaat lalu dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.4987/5040 daripada 3.5106/5145 seminggu lalu.

Mata wang tempatan itu juga meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 297.7/298.2 daripada 299.8/300.4 Jumaat lalu dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.40/8.42 daripada 8.41/8.42 minggu lalu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini